"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Houthi tembak dua kapal dagang

Bharianonline
Kapal tangki berlabuh dekat Laut Merah. - Foto AFP
Kapal tangki berlabuh dekat Laut Merah. - Foto AFP
SANAA: Kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman melepaskan tiga peluru berpandu ke arah dua kapal dagang di Laut Merah dalam serangan terbaru di perairan yang digunakan secara komersial, kata Rumah Putih dan kumpulan terbabit.

Ini berlaku selepas Houthi berikrar meneruskan serangan walaupun kerap berdepan serangan balas yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Satu peluru berpandu tersasar dan Tentera Laut AS menembak jatuh dua peluru berpandu yang lain, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby.

Katanya, serangan berterusan dilakukan kumpulan Houthi bermakna tindakan wajar perlu diambil bagi melindungi kapal yang melintasi perairan itu.

Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, peluru berpandu itu dilepaskan ke arah kapal kontena dengan bendera AS yang dimiliki dan dikendalikan oleh M/V Maersk Detroit.

CENTCOM bagaimanapun tidak mendedahkan kapal kedua yang menjadi sasaran.

Katanya, tiada kecederaan atau kerosakan pada kapal itu dilaporkan.

Syarikat gergasi perkapalan Denmark, Maersk sebelum ini berkata, dua kapal milik anak syarikat AS yang menuju ke Laut Merah berpatah balik, selepas mendengar letupan ketika bergerak di selat Bab al-Mandeb, di antara penjuru benua Afrika dan Semenanjung Arab.

Menurut syarikat itu, kapal tentera laut AS yang mengiringi Maersk Detroit dan Maersk Chesapeake turut memintas pelbagai peluru.

"Krew, kapal dan kargo dalam keadaan selamat dan tiada yang tercedera. Tentera Laut AS mengiringi kedua-dua kapal itu kembali ke Teluk Aden," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan Houthi kemudian mengesahkan pertembungan dengan kapal perang AS ketika mereka melindungi dua kapal komersial milik negara itu.

Jurucakap tentera mereka, Yahya Saree mendakwa beberapa peluru berpandu kumpulan itu mengenai sasaran, sekali gus memaksa kapal dagang AS berpatah balik. - AFP
Pengawal pantai Houthi di Laut Merah dekat pelabuhan Hodeida. - Foto AFP
Pengawal pantai Houthi di Laut Merah dekat pelabuhan Hodeida. - Foto AFP

Tiada ulasan: