"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PMX: Mansuh pencen juga terpakai kepada wakil rakyat

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Cadangan skim tidak berpencen untuk penjawat awam juga terpakai kepada ahli politik berjawatan, termasuk wakil rakyat, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, secara prinsipnya kerajaan bersetuju dengan keputusan berhubung pemansuhan pencen kakitangan awam.

“Kalau kita mula pada 1 Feb 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik.

“Jadi ada orang kata mengapa tidak (ahli politik), tidak soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri, kemudian jadi timbalan perdana menteri.

“Itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tapi tak boleh kebelakangkan retrospektif,” katanya kepada pemberita ketika makan tengah hari bersama rakyat di Desa Sri Hartamas.

Beliau berkata, mana-mana negara, termasuk Malaysia tidak boleh bertahan dengan kedudukan ekonomi semasa dan memerlukan perubahan terhadap sistem pentadbirannya.

Tetapi, katanya, apa juga perubahan ingin dilakukan kerajaan perlu didahului cadangan serta perbincangan, termasuk pemansuhan pencen sebelum ia dimuktamadkan.

“Kita boleh kaji dulu…Pada prinsipnya, saya bersetuju supaya apa saja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik, tetapi dimuktamadkan selepas kajian dan dibawa ke Jemaah Menteri untuk diputuskan.”

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, di mana kumpulan penjawat awam itu akan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam perkembangan lain, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selepas mengambil kira prestasi Harimau Malaya semasa kempen Piala Asia 2023, termasuk menentang Korea Selatan malam tadi.

Tiada ulasan: