"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru warga asing menyamun mangsa sedang tahajud

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah mangsa samun di Parit 15, Jalan Bagan Datuk. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah mangsa samun di Parit 15, Jalan Bagan Datuk. FOTO ihsan polis
Bagan Datuk: Polis memburu lima warga asing disyaki terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Parit 15, Jalan Bagan Datuk, Sungai Pulau, Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Difahamkan, kesemua suspek memakai pelitup muka memecah masuk sebuah rumah ketika mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun sedang solat tahajud.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan telefon daripada mangsa pada jam 4.14 pagi.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah kampung membabitkan tiga mangsa iaitu pengadu dan ibu bapanya masing-masing berusia 69 dan 66 tahun.

"Ketika pengadu sedang menunaikan ibadah di bilik tidurnya, tiba-tiba lima suspek dipercayai warga asing memukul belakang mangsa menggunakan hulu parang dan terus mengacukan bilah parang ke arah leher sebelum mengikat kedua-dua tangannya.

"Suspek kemudiannya membawa mangsa ke bilik tidur ibu bapanya yang sedang tidur dan bertindak mengikat kedua tangan bapanya menggunakan cebisan kain cadar.

"Lima suspek bertindak menggeledah rumah dan melarikan barangan kemas, telefon bimbit, beg tangan, wang tunai serta dua motosikal jenis SYM dan sebuah Honda EX5," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek juga bertindak mengugut mahu membunuh mangsa serta ahli keluarganya jika mereka membuat laporan polis.

"Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius.

"Unit Forensik dan Unit Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hadir membantu siasatan berjaya menimbulkan sembilan cap jari dan merampas barangan milik suspek yang ditinggalkan semasa kejadian.

"Kerugian yang dialami oleh mangsa yang bekerja sendiri dianggarkan bernilai RM39,500," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 395/197 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat terbabit diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Fa'eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6799222.

Tiada ulasan: