Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my
MAZLAN dinaikkan ke pangkat Sarjan bagi mengiktiraf keberaniannya membantu dua individu terjun Jambatan Pulau Pinang. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Port Dickson: Jasa anggota tentera yang sanggup bergadai nyawa menyelamatkan dua individu dalam kejadian di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini, dinaikkan pangkat.
Koperal Mazlan Abdul Rahman, dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) dinaikkan ke pangkat Sarjan bagi mengiktiraf keberaniannya itu.
Pemakaian pangkat perwira itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini, hari ini.
Perwira itu turut dianugerahkan Pisau Tentera Darat sebagai pengiktirafan dan penghormatan.
Muhammad Hafizuddeain berkata, keberanian Mazlan dalam kejadian pada 15 Januari lalu adalah satu teladan yang baik dan amat membanggakan Tentera Darat.
"Baru baru ini negara menyaksikan keberanian Sarjan Mazlan yang sanggup terjun ke laut bagi menyelamatkan dua individu di Jambatan Pulau Pinang.
"Apa yang dilakukan itu menunjukkan teladan bagaimana seorang anggota yang memiliki sifat keberanian dan pengorbanan menzahirkan nilai etos kepahlawanan dengan tindakan beraninya walaupun tahu ada bahaya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di sini, hari ini.
Muhammad berkata, beliau percaya apa yang dilakukan oleh Sarjan Mazlan adalah hasil dari latihan dan didikan yang diterima sepanjang dalam perkhidmatan Tentera Darat.
Pada 15 Januari lalu, Mazlan dilaporkan bertindak nekad terjun di Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamatkan 2 individu yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.
Tentera Darat sebelum ini mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan tindakan anggota dari 2 RAMD itu berjaya menyelamatkan nyawa orang awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan