"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar dakwa dirogol sarjan polis

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my

Seri Iskandar: Pegawai rendah polis berpangkat sarjan sedang disiasat selepas didakwa merogol seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam kereta sebanyak dua kali, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya di daerah Perak Tengah, pada September dan Oktober tahun lalu.

Perbuatan terkutuk suspek berusia 42 tahun itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya, baru-baru ini.

Sumber berkata, polis sudah memanggil mangsa bersama ahli keluarganya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk dirakam keterangan masing-masing mengikut Seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

"Identiti suspek dikenal pasti berdasarkan nombor telefon yang terpapar dalam telefon bimbit mangsa.

"Polis juga merampas dua telefon bimbit, masing-masing milik remaja berkenaan dan suspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes terbabit pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis sedang menunggu serahan laporan kesihatan oleh pihak hospital.

"Hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati tiada kecederaan luaran pada mangsa," katanya.

Tiada ulasan: