"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isham Jalil mohon sertai PAS

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil, mengumumkan beliau memohon menyertai PAS, setelah tiga tahun tidak menyertai mana-mana parti selepas dipecat daripada Umno.

Isham berkata beliau mengisi dan menghantar borang permohonan untuk menjadi ahli PAS semalam.

“Setelah tiga tahun tidak berparti, saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan bersama PAS. PAS adalah tempat orang-orang Islam dan orang-orang Melayu berteduh kini.

“Saya ingin bersama-sama menguatkan payung besar orang-orang Islam dan Melayu di negara ini,” katanya dalam satu hentaran di Facebook.

Isham turut mengimbau kembali perjalanan kariernya dalam politik yang panjang dan mencabar hingga dipecat daripada Umno pada 2023.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan seperjuangan sepanjang berada dalam Umno, PAS serta parti lain, termasuk mereka yang tidak menyertai mana-mana parti politik.

Isham turut menyifatkan PAS sebagai parti yang bersih daripada rasuah dan percaya parti itu mampu membawa perubahan sekiranya diberi mandat mentadbir negara.

Beliau dipecat daripada Umno pada Disember 2023, beberapa bulan selepas dipilih menganggotai Majlis Kerja Tertinggi parti itu dalam pemilihan Umno.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum ini berkata pemecatan Isham dibuat atas alasan beliau tidak setia pada parti, gagal mematuhi arahan dan ketetapan parti, serta tidak menghormati keputusan dibuat parti.

Isham sebelum ini merupakan penyokong Presiden Umno, Zahid Hamidi, namun kemudiannya mula mengkritik beliau serta kerjasama politik parti itu dengan DAP.

Pada Mac lalu, Isham menolak pelawaan Zahid untuk menyertai ‘Rumah Bangsa’ dengan kembali kepada Umno.

Isham menyatakan tidak berminat untuk menyertai gagasan itu kerana ia masih berada dalam kerangka Kerajaan Madani, sekali gus menunjukkan masih wujud kaitan kerjasama Umno dengan DAP.

Tiada ulasan: