Amirul Aiman Hamsuddin

Dua kru bot tunda warga Indonesia ditahan bersama 10,000 liter diesel dan wang tunai RM5,000 dalam operasi penguatkuasaan di perairan Selangor, pagi tadi. – Foto ihsan Maritim Malaysia
KUALA LANGAT: Dua kru bot tunda warga Indonesia ditahan bersama 10,000 liter diesel dan wang tunai RM5,000 dalam operasi penguatkuasaan di perairan Selangor, semalam.
Operasi dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada jam 6.35 pagi.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata pihaknya menahan sebuah bot tunda di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari muara Sungai Langat, di sini ketika melaksanakan rondaan rutin menerusi Op Ehsan, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Tanjung Siri 2.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel dikendalikan seorang nakhoda berusia 44 tahun kru berusia 23 tahun yang kedua-duanya adalah warga Indonesia.
“Kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, dokumentasi bot tunda itu juga didapati gagal mengemukakan perlindungan insurans wajib termasuk Limitation of Liability for Maritime Claims (LLMC) seperti yang ditetapkan.
“Selain minyak diesel dan wang tunai yang dijumpai, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang membenarkan pengangkutan minyak diesel tersebut, sekali gus menimbulkan syak berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.
“Susulan itu, bot bersama kedua-dua kru diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan