"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkasa gesa suruhanjaya diraja siasat isu Limbang, blok minyak

Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Perkasa menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mengadakan suruhanjaya diraja untuk menyiasat pertikaian terbaru berhubung dua blok minyak di pesisir pantai yang didakwa telah diserahkan kepada Brunei sebagai pertukaran wilayah tuntutan Limbang, Sarawak.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata banyak persoalan masih kabur dan belum dijawab meskipun bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi dan syarikat minyak negara Petronas menjelaskan perkara berkenaan dua hari lalu.

“Perkasa mahu Datuk Seri Najib, kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja ataupun sekurang-kurangnya kertas putih dikeluarkan berhubung isu Blok L dan M, yang terletak di sempadan Malaysia-Brunei,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas ketika berucap membuka bengkel Model Ekonomi Baru (MEN) anjuran Perkasa di sini hari ini.

“Saya tidak prejudis sama ada terhadap Dr Mahathir atau Tun Abdullah Badawi, tetapi banyak isu kelihatan masih gantung.

“Perkara ini perlu dijelaskan, blok minyak ini bernilai berbilion ringgit,” kata Ibrahim.

Ibrahim juga berkata Malaysia atau Brunei belum lagi mengesahkan ataupun mengatakan apa-apa berkaitan status hak milik terhadap Limbang.

“Brunei, Malaysia belum mengesahkan apa-apa. Limbang milik siapa? Bagaimana perjanjian dibuat?

“Saya tahu bahawa perbincangan Kabinet adalah rahsia tetapi mereka sekurang-kurangnya perlu menyediakan maklumat kasar mengenai mesyuarat berkaitan dengan perjanjian pertukaran ini,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: