Jawapan sambil lewa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai status penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin yang mungkin tidak sampai kepada mereka, ditegur pimpinan Pakatan Rakyat.
Mengulas kenyataan Muhyiddin itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid kesal kerana Muhyiddin sebagai antara pimpinan negara seharusnya memberi jawapan yang lebih menyakinkan.
"Yakinkan rakyat yang memberi sumbangan ini,yang memberi sumbangan yang banyak kepada rakyat Palestin ini, harus dan wajib disampaikan ke matlamatnya," katanya kepada TV Selangor.
Sebelum ini, rakaman visual Muhyiddin menunjukkan beliau berkata begini: “Kita kurang pastilah...Bila kapal-kapal sudah ditahan begitu, dah dirampas, memang saya tak fikir dia akan hantar barang-barang ke Gaza. Jadi, kita kurang pasti perkara itu akan dilakukan oleh Israel. Jadi, kemungkinan tidak sampai..."
Abdullah Sani sebaliknya berkata, Muhyiddn juga harus menegaskan pendirian Malaysia bahawa negara tidak akan tunduk kepada kuasa Tel Aviv itu.
"Kita kena mainkan peranan. Kita mesti menggertak Israel Yahudi ini supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa.
"Tujuan asal kita ialah barang itu kena sampai ke Palestin, itu penting. Dan kalau sekadar pergi KLIA, itu hanya sekadar retorik, tidak menyakinkan. Maknanya, Muhyiddin tidak buat kerjalah..." katanya.
Mengulas isu sama, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyifatkan jawapan Muhyiddin itu adalah jawapan klise.
"Kerajaan Malaysia seharusnya lebih pro-aktif dan bukan lagi memberi jawapan yang standard begitu, seolah-olahnya tidak berani menyuarakan pandangan atau tindakan yang lebih kehadapan," katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mahu membuat usul di Parlimen supaya Malaysia menjadi penganjur kepada misi bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas ini.
"Kita harus meningkatkan kembali usaha tersebut. Saya rasa ada banyak lagi kapal yang ingin ke Gaza. Biar apa pun yang terjadi, walaupun mungkin akan menjadi korban tetapi biar dunia melihat, kita tidak berhenti setakat ini sahaja," katanya.
"Bagi saya, Malaysia harus untuk merancang, menganjurkan supaya lebih banyak kapal akan ke Gaza dan memastikan bekalan itu sampai kepada umat Islam Palestin di Gaza," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan