"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis antikeganasan Indonesia tahan ulama Abu Bakar Bashir

Abu Bashir berkata beliau tiada kaitan dengan kumpulan militan seperti didakwa. — Gambar Reuters
JAKARTA, 9 Ogos: Polis antikeganasan Indonesia hari ini menahan ulama terkenal Abu Bakar Bashir ekoran dakwaan hubungan beliau dengan kem-kem latihan puak militan Islam di Aceh.

Penahanan itu dibuat dua hari selepas unit D88 menangkap dua orang yang dipercayai mahu menyerang Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketua unit antipengganas Ansyaad Mbai memberitahu Reuters, polis mempunyai bukti kukuh yang Abu Bakar ada hubungan dengan kem-kem latihan di wilayah Acheh, yang merancang untuk melakukan serangan ke atas pemimpin mereka.

Abu Bakar adalah ketua kumpulan radikal Jemaah Ansharut Tauhid (JAT) dan pengasas madrasah al-Mukmin di Ngruki, Solo yang melahirkan beberapa graduan yang kemudian terbabit dalam serangan pengganas di Indonesia.

International Crisis Group yang berpejabat di Brussels dalam laporannya bulan lalu mendakwa kumpulan berkenaan terbabit dalam komplot keganasan yang berjaya digagalkan oleh polis.

Pada Mei lalu, Abu Bakar, yang pernah didakwa berperanan sebagai ketua kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI), menafikan penglibatannya dengan sekumpulan suspek militan yang ditahan dalam beberapa serbuan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Ketika itu, media tempatan melaporkan, beberapa suspek yang ditahan pada Mei lalu berhubung penemuan sebuah kem latihan militan di wilayah Aceh tiga bulan sebelum itu, mempunyai kaitan dengan JAT pimpinan Abu Bakar.

Semua suspek itu dilapor telah ditahan pada 6 Mei dalam satu serbuan antikeganasan di sebuah bangunan di selatan Jakarta yang digunakan sebagai pangkalan JAT, kumpulan yang diasaskan oleh Abu Bakar pada 2008.

Bagaimanapun, Abu Bakar memberitahu akhbar Indopos bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan militan seperti yang didakwa.

“Saya telah dianiaya. Saya tidak tahu dan tidak terlibat dengan sebarang pergerakan serta latihan di Aceh.

“Dari segi organisasi dan aktiviti, JAT berbeza dengan kumpulan-kumpulan pengganas di Aceh. Tetapi JAT masih dikaitkan dengan pergerakan militan,” katanya seperti yang dipetik akhbar terbabit.

Penemuan kem latihan di Aceh Februari lalu membawa kepada operasi serbuan antikeganasan di seluruh negara ini.

Abu Bakar sebelum ini pernah dipenjarakan kerana menjalin hubungan dengan JI, namun beliau kemudian dibebaskan.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: