"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Senator Boy (Ezam) Calon MB Selangor?

Mohd Sayuti Omar
MULANYA geli hati saya mendengarnya tetapi lama-lama
bila fikir balik ada logiknya. Saya pernah berkata kepada Husam Musa kira-kira enam atau tujuh tahun lalu, kalau masuk askar tetapi tidak mahu sampai ke peringkat general tak usah masuk askarlah. Jadi penoreh getah atau penanam tembakau lagi baik.

Maksud saya kalau masuk politik jika setakat nak jadi Adun, baik tak usahlah. Pelihara kambing atau lembu saja, menyenangkan tidak payah serabut dengan manusia. Selamat dari kena serang dan fitnah. Justeru kalau sudah melangkah masuk ke gelanggang politik dan jadi Adun mesti kena sematkan cita-cita untuk jadi MB. Selepas itu kalau ada peluang dan sokongan bertanding parlimen, menang, beranganlah pula untuk jadi Perdana Menteri.

Orang politik seharusnya menjadi lebih hebat dan grand daripada Mat Jenin. Tetapi jangan sampai jatuh terkangkang macam Mat Jenin sudahlah kerana terlepas tangan dari memeluk batang kelapa.

Mengingat balik apa yang saya 'falsafahkan' kepada Husam itu maka hati saya berhenti menjadi geli takkala mendengar Ezam Mohamad Noor (foto) disebut sebagai calon MB Selangor. Iya, tentu Ezam bercita-cita ke arah itu. Beliau tidak hanya akan menjadi penyeri pentas atau pun sebagai
si chaperon saja.

Lagipun dia layak kan? Kalau kawannya si Mohamad Azmin Alu juga bercita-cita dan ada nafsu untuk menjadi MB Selangor, kenapa tidak dengan Ezam. Selamanya mereka dua ini berlawan dan berkonfrantasi di antara satu sama lain kerana merebut Anwar. Istimewa sungguh Anwar buat mereka.

Kerana gagal menyaingai kehebatan Azmin akhirnya Ezam mengambil sikap mufakarah daripada Keadilan dan Anwar dan menukar topeng menjadi hantu hitam melawan Anwar balik. Ezam tidak melawan begitu saja tanpa ada harapan besar yang dilihat di depan. Atas sifat orang politik tentunya Ezam mempunyai angan-angan lebih besar dan realistik dari Mat Jenin.

Hari ini Ezam sudah menjadi tukang karut membelasah Anwar di Selangor. Dia sudah jadi sampah yang dikitar semula oleh Umno. Siang malam dia pusing Selangor naik pentas membongkar dan membuka rahsia Anwar yang sudah tidak menjadi rahsia lagi. Lapan peti yang dijanjikan dulu juga akan dibuka satu persatu. Puluuuuuhan... yang hadir pada setiap ceramah Ezam.

Ramai yang tidak sedar aktiviti malam itu telah digunakan Ezam untuk melawan Azmin bagi merebut kerusi MB Selangor. Mungkin Ezam sendiri juga terlupa akan agenda Ezam ini. Bagi Ezam tak dapat lawan dari dalam mesti lawan dari luar. Ezam selalu menyebut motto juang Anwar, 'lawan tetap lawan.'

Dan Umno katanya diam-diam telah menaja dan menjual nama Ezam untuk jadi MB Selangor. Umno menjual ini kepada anak-anak muda yang sudah mual dan muak dengan politik Umno. Ezam akan bertanding di salah satu kerusi Dun di Selangor pada pilihan raya akan datang.

Terdengar juga dari kalangan Umno reyuk, yang Ezam akan diletakkan bertanding di Bukit Antarabangsa atau Hulu Kelang. Ezam terpaksa minggir ke luar bandar kerana di Shah Alam atau Petaling Jaya belum tentu selamat.

Ada alasan kenapa Ezam menjadi calon MB Selangor. Selain Ezam dilihat laku (walaupun kehadiran pada ceramah pembongkarannya puluuuuuhan...), tetapi masih ada mereka yang tersesat jalan termasuk ke ceramah Ezam. Jadi kerana itu Ezam dikira relevan menjadi MB... dan calon yang diperhitungkan boleh mengugah rakyat Selangor.

Ada munasabahnya kalau Umno menaja Ezam sebagai MB. Umno Selangor sendiri bemasalah dan berpecah. Ada tiga kumpulan dalam Umno Selangor. Sekumpulan diketuai oleh Khir Toyo, satu kumpulan lagi Noh Omar. Mereka ini walaupun dari satu parit dan satu tanjung, tetapi tidak sebau dan sehanyir.

Hampak Noh tidak sama dengan tengik Khir Toyo. Jadi mereka tidak dapat bersatu dan kini sedang berlumba untuk mewangikan diri kepada rakyat Selangor. Manakala satu kumpulan lagi ialah golongan veteran yang frutstasi dengan sikap Najib Razak. Kumpulan itu diketuai oleh bekas menantu Sultan Selangor, Muhammad Mohd Taib.

Bagaimana pun kumpulan Mat Taib ini menyediri dan bergerak secara senyap. Mereka tidak sampai bercita-cita untuk jadi MB, tetapi cukuplah setakat memastikan Noh Omar hanyut ke tanjung dan Khir Toyo masuk botol. Mereka menanti untuk menyorak Noh dan Khir Toyo saja.

Berdasarkan perkembangan itu nampaknya senator boy lah orang paling sesuai dan dianggap sebagai calon yang boleh diterima ramai. Kerana itu Ezam kini sedang bergerak ke bangunan Sultan Sallahuddin di Shah Alam dan berlawan arus dengan bekas bosnya, Anwar Ibrahim yang kini sedang bergerak ke Putrajaya. Aduhai Mat Maslan kenapa Felda bankrup? [wm.kl.11:10 am 09/08/10]

Tiada ulasan: