"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan anggap Felda, kampung tradisi kubu BN

Harakahdaily
TEMERLOH, 31 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru seluruh jentera parti PAS untuk menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu Barisan Nasional.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ianya termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di pilihan raya kecil Dun Tenang.

Di Tenang, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakalah Azahar memperolehi 6,699 undi.

Apa yang penting, kata Tuan Ibrahim ialah ahli-ahli PAS mesti berperanan dan bergerak secara aktif dalam seluruh aktiviti masyarakat di dalam Felda di samping mempertingkatkan kekuatan cawangan-cawangan PAS di Felda.

“Bahkan keahlian baru di kalangan anak-anak ahli PAS mesti diusahakan. Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga mengesyorkan bahawa aktiviti pengajian agama di masjid dan markaz di sekitar kawasan Felda perlu digerakkan agar semangat yang ada selari dengan ilmu pengetahuan.

“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi dalam satu kenyataan di Twitter berkata bahawa PAS akan meneruskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat di Johor biarpun kalah di Tenang.

“Pakatan Rakyat akan memperbaiki kelemahan, memperbetulkan kesilapan dan mempertingkatkan gerak kerja untuk bangkit menghadapi pilihanraya umum kelak,” ujarnya.

Tiada ulasan: