Ahmad Lutfi Othman
Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin jarang bersuara tetapi sesekali beliau membuat ramalan politik, agak menarik juga untuk disorot. Setahun sebelum PRU12, beliau menjangkakan BN akan menghadapi tentangan cukup sengit di beberapa kawasan panas, iaitu Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Hasilnya BN tersungkur di tiga negeri berkenaan, ditambah satu lagi Perak.
Baru-baru ini, dalam wawancara dengan akhbar China Press, Daim meletakkan Kelantan dan Pulau Pinang sebagai negeri selamat buat Pakatan Rakyat. Meskipun media yang dikontrol BN sering menggambarkan pentadbiran Lim Guan Eng tidak henti-henti berdepan masalah dan rungutan rakyat, Daim melihat kerajaan Pulau Pinang tetap kuat dan tiada petanda akan berlaku peralihan kuasa dalam PRU13.
Begitu juga dengan situasi di Kelantan. Bagi Daim, kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu disayangi rakyat. Bagaimanapun, pertembungan BN dan Pakatan tetap mendebarkan di Selangor, Kedah dan Perak. Keputusan akhirnya dilihat bergantung kepada calon yang dipilih dan kualiti menteri besarnya.
Daim, bekas Ahli Parlimen Merbok turut memandang tinggi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga katanya, disukai rakyat. Ustaz Azizan, tambahnya peramah dan senang didekati. Selain Daim, secara terbuka, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menghormati gaya pentadbiran Ustaz Azizan.
Keupayaan Pakatan mempertahankan Selangor dipersoal Daim. Sasarannya lebih tertumpu kepada cara Abdul Khalid Ibrahim menerajui kerajaan negeri, yang didakwanya lebih mirip seperti seorang CEO sebuah syarikat. Rakyat, katanya, mahu melihat sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat, bersih dan cekap. Peranan Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri juga dikritik.
Saya tidak pasti mengapa Daim tidak merangkaikan Terengganu sebagai negeri yang juga cukup berpotensi untuk direbut Pakatan. Negeri yang pernah ditadbir PAS (2004-2008) kini menghadapi masalah besar daripada segi kewangan dan juga politik dalaman Umno. Pentadbiran Ahmad Said goyah dan menerima banyak kritikan khususnya daripada penyokong Umno sendiri. Rasanya jika Pakatan berupaya menampilkan calon-calon terbaik, dalam keadaan wibawa menteri besar sekarang dipertikai, Daim perlu memasukkan Terengganu dalam senarai "kawasan panas".
Di mana-mana pun, sifat politik cukup dinamik. Tekaan hari ini boleh meleset atau diperkukuhkan lagi jika situasi politiknya berubah. Ramalan Daim tidak terkecuali. Kebijaksanaan rakyat dan kesungguhan parti-parti bertanding bakal menentukan keputusan akhirnya. -- lutfi_detik@yahoo.com
Salurkan pandangan dan idea anda -- tentang ura-ura kerajaan mahu memperluaskan skop sekatan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) termasuk kepada kandungan interner, seperti facebook -- kepada akaun FB Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
1 ulasan:
Terimalah ulasan Tun Daim dengan otak yang positif.Perbetulkan apa yang silap.Masa masih ada.
Tak rugi jika Pakatan mengambil komen Tun Daim ini sebagai satu peingatan.
Catat Ulasan