Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 13 Feb: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, rasuah bukanlah masalah besar di negara ini kerana ia berlaku di mana-mana negara di dunia.
"Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni," kata Isa ketika memberikan ucapan di forum masa depan kepimpinan Melayu di PWTC lewat petang semalam.
Turut menjadi penal di forum tersebut adalah Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah Tan Sri Dr Nordin Kardi, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ketika memberikan ucapannya, Mustafa berkata, antara cabaran besar kepimpinan Melayu di negara ini adalah pelakuan rasuah yang bermaharaja lela di negara ini.
Ia kini, kata Mustafa, sudah menular ke semua pihak dari peringkat tertinggi negara, pertengahan bahkan golongan bawahan termasuk pada pelajar.
"Yang mengejutkan saya, hasil kajian yang dibuat oleh Institut Intergriti Malaysia (IIM) yang mendapati 35 peratus pelajar menjawab, mereka akan mengambil rasuah jika ada peluang," kata Mustafa.
Sebelum ini, Isa pernah dipecat dari jawatan Naib Presiden Umno apabila didapati beliau terlibat dengan rasuah politik dalam pemilihan Umno. Ekoran itu, beliau juga kehilangan jawatannya sebagai menteri.
Isa kembali semula ke ruang utama politik negara apabila dipilih sebagai calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.
Baru-baru ini, Isa telah dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai Pengerusi Felda. Ramai beranggapan ia berlaku hasil dari pengaruh isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor.
"Bagi saya ia tidaklah teruk sangat...kerajaan pula tidaklah menghalalkan rasuah," kata Isa.
Sukar untuk PAS dan Umno bersatu
Dalam ucapannya juga, Isa berkata, sukar untuk PAS dan Umno bersatu kerana jika kedua-duanya bersatupun Melayu tetap tidak akan bersatu.
"Kalau PAS dan Umno bersatu, tentu ada orang akan tubuh parti Melayu yang lain. Baru-baru ini parti Kita tubuh, lepas ini parti Kami pula," kata Isa disambut tepukan sorakan gemuruh peserta di dewan PWTC yang kebanyakannya adalah penyokong Umno itu.
Kita adalah parti yang dirujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim yang ditubuhkan baru-baru ini.
"Jadi apa yang kita minta adalah, biarlah Umno dan PAS ini bersatu atas perkara-perkara yang disepakati untuk kepentingan orang Melayu...itu dah cukup," kata Isa.
Desakan untuk PAS bersatu dengan Umno menjadi vokal di kalangan peserta Simposium Dilema Melayu itu yang rata-rata pro Umno atau anak didik Umno di kampus seluruh negara itu.
Ia dianjurkan oleh bekas pelajar pro Aspirasi iaitu kumpulan pelajar yang pro Umno dalam kampus.
Mustafa ketika mengulas isu ini berkata, menjadi dasar PAS dan Pakatan Rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam perkara-perkara kepentingan bersama dan untuk keadilan.
"Kita dalam Pakatan Rakyat bersetuju untuk mempertahankan tiga perkara pokok dalam perlembagaan iaitu Islam agama rasmi persekutuan, kedudukan Bahasa Melayu dan juga kedudukan raja-raja Melayu.
"Bahkan menjadi dasar PAS juga untuk bekerjasama dengan Umno untuk perkara-perkara kepentingan bersama atas prinsip keadilan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan