SUNGAI PETANI: Bangkai ikan paus spesies Bryde yang ditemui mati terdampar di kawasan pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda di sini akan dilapah untuk proses penyelidikan.
Pegawai Penyelidik Unit Mamalia Marin Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Mohd. Lazim Mohd. Saif berkata, pihaknya akan melapah ikan itu untuk mendapatkan tulangnya bagi kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan selain menjadi bahan pameran kepada orang ramai.
"Kita akan memulakan kerja-kerja melapah bangkai ikan paus itu dalam masa terdekat.
"Tulangnya akan diambil untuk kerja-kerja penyelidikan Tumec manakala dagingnya akan ditanam," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Tumec berpejabat di Rantau Abang, Terengganu.
Menurut Mohd. Lazim, Tumec tidak dapat melakukan bedah siasat terhadap bangkai ikan paus tersebut memandangkan kulitnya yang menggelupas kerana dipercayai mati lebih seminggu lalu.
"Bangkai yang sudah lama terbiar itu menyebabkan struktur badannya sudah tidak kukuh. Oleh itu, memadai kita hanya lapah daging dan ambil tulang," ujarnya.
-kosmo-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan