"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersih 2.0: Ali Rustam jangan jadi batu api

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Julai: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bersikap adil dan tidak sewenang-wenangnya menghukum seseorang tanpa bersikap bias.


Beliau juga perlu memainkan peranan sebagai pemimpin Umno dan juga sebagai Presiden Pesaka agar tidak menjadi batu api dengan menjadikan pihak-pihak tertentu sebagai alat bagi mencetuskan permusuhan.


Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Muhamad Aizat Bahrudin menyatakan demikian sebagai merujuk kepada Mohd Ali yang mahukan kerajaan Persekutuan melucutkan kewarganegaraan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga.


Katanya, kenyataan Ali di dalam akhbar Utusan Malaysia semalam yang mengatakan Ambiga bertanggungjawab atas kesalahan akan berlaku huru hara jika Bersih 2.0 diadakan juga suatu yang tidak adil.


Sedangkan, ujarnya acap kali dimaklumkan tentang jaminan oleh sekreteriat Bersih 2.0 bahawa himpunan itu adalah perhimpunan aman, tidak membawa senjata dan sekadar mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Ianya bukan mahu menentang kerajaan seperti yang dikatakan Ali Rustam tetapi bertujuan menuntut hak rakyat melalui 8 tuntutan bagi pilihanraya yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada Harakahdaily.


Tambahnya, Ali Rustam tidak wajar meletakkan hukuman awal pada Ambiga sedangkan himpunan tersebut masih belum berlangsung.


Katanya, kenyataan tersebut seolah-olah terus menghukum Ambiga sebagai pencetus huru-hara dan perlu dilucutkan kerakyatan.


Persoalannya, kata beliau mengapa Mohd Ali tidak menyalahkan Pemuda Umno dan Perkasa yang juga turun berhimpun pada 9 Julai nanti.


“Mengapa pula tidak menyalahkan Khairy Jamaludin dan Datuk Ibrahim Ali sekali sebagai pencetus huru-hara sedangkan mereka juga berhimpun pada hari yang sama dan waktu yang sama, walaupun tuntutan mereka berlawanan dengan Bersih,” ujarnya.

Tiada ulasan: