"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pheu Thai menang besar

Yingluck Shinawatra melambai kepada penyokongnya yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat Parti Pheu Thai bagi meraikan kemenangan besar parti itu pada pilihan raya umum Thailand, di Bangkok semalam. - Reuters

BANGKOK 3 Julai: Parti Pheu Thai memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum Thailand hari ini, membuka laluan kepada Yingluck Shinawatra untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama negara ini dalam kejayaan bagi gerakan politik 'Baju Merah'.

Sehingga pukul 11.00 malam ini selepas 97 peratus undian dikira, Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) memenangi 263 daripada 500 kerusi, jauh mendahului Parti Demokrat yang hanya memperoleh 161 kerusi, lapor Suruhanjaya Pilihan Raya.

Parti Bhumjai Thai memenangi 35 kerusi, Chart Thai Pattana (21), Chart Thai Pattana Phea Pandin (10) Palong Chan (7), Rak Thailand (4), Matubhum (2), dan masing-masing satu kerusi oleh Rak Santi serta Parti Demokrat Baru.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dalam reaksinya mengakui kekalahan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada Yingluck.

"Keputusannya jelas, Pheu Thai memenangi pilihan raya dan Parti Demokrat tewas," kata Abhisit kepada penyokongnya di ibu pejabat parti beliau di Bangkok.

Yingluck yang meraikan kemenangannya di ibu pejabat Pheu Thai berkata, Perdana Menteri Thailand itu ada menghubunginya untuk mengucapkan tahniah selain mengingatkan tentang cabaran baru yang bakal dihadapinya.

"Terima kasih kepada rakyat yang keluar mengundi. Saya tidak mahu katakan ia adalah kejayaan untuk saya dan parti saya, tetapi rakyat memberi peluang kepada saya dan saya akan buktikan kemampuan," katanya.

Adik kepada jutawan telekomunikasi, Thaksin itu berkata, beliau berhasrat menubuhkan kerajaan campuran berikutan kemenangan itu.

Aktivis Baju Merah memberi sokongan padu kepada Yingluck, 44, dan menuduh Abhisit bersekongkol dengan tentera untuk bertindak sewenang-wenangnya, rungutan yang berlarutan sejak tentera menggulingkan Thaksin pada 2006.

Bagaimanapun Abhisit, 46, seorang ahli ekonomi yang dilahirkan di Britain dan mendapat pendidikan di Universiti Oxford telah memberi amaran Thailand boleh kembali menjadi tidak stabil jika Yingluck menang.

Penyokong Abhisit yang terdiri daripada pihak istana dan golongan kelas menengah di bandar mahu Thaksin menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan pilihan raya itu. 
-Reuters/AP/AFP-

Tiada ulasan: