KUALA LUMPUR: Setiap kekejaman (harus) mempunyai tarikh luputnya, kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said merujuk nilai demokrasi di negara ini yang kian terhakis lantaran pelakuan polis dan ketakutan pihak tertentu terhadap Himpunan Bersih 2.0.
“Saya khuatir kalau dibiarkan terus, akan menjadi negara polis, katanya lagi ketika berucap pada majlis pelancaran buku kartun Zunar berjudul ‘Even My Pen Has A Stand‘ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini, malam tadi.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad juga menyelar sikap polis yang tidak membenarkan tunjuk perasaan secara aman, malah menutup pintu rundingan sebaliknya membuat tangkapan secara leluasa.“Saya kira, kalau terjadi pertelagahan, saya lebih salahkan polis. Polis tahu beberapa bulan lalu mereka diminta ruang untuk penganjuran demontrasi Bersih, namun mereka sengaja tidak membenarkan,” katanya.
Berucap dengan lilitan tangan warna kuning yang dipakaikan Zunar, beliau juga mengkritik polis kerana ‘mengembalikan’ Ordinan Darurat semata-mata ketakutan pihak tertentu terhadap warna kuning.
“Anehnya, tiba-tiba ditimbulkan isu komunis. Dengan itu, dihidupkan undang-undang lama, boleh ditahan tanpa soal-jawab, ini kekejaman.
“Dalam demokrasi, suara harus dipertimbangkan. Tiba-tiba tidak boleh bercakap. Warna pun takut, tidak mahu berunding, itu sudah membunuh demokrasi namanya,” kata beliau disambut sorakan kira-kira 300 hadirin.
Beliau yang pernah menerajui Kumpulan Berita Harian pada zaman 60-an juga mengecam pengamal media arus perdana masa kini kerana membiarkan diri mereka diperalat semata-mata untuk ‘carma’ iaitu cari makan.
“Saya sudah tidak baca Utusan atau Berita Harian kerana tidak membacanya, sudah tahu apa yang yang ditulis (mereka),” katanya, menyindir kerakusan media arus perdana yang giat menyerang gerakan kebangkitan rakyat.
Meluahkan rasa tidak senang terhadap kekangan pemerintah terhadap seniman yang tidak memihak kepada penguasa, beliau mempersoal sikap segelintir seniman yang membisu tanpa menghirau suasana bobrok di sekeliling mereka.“Seniman kartunis, sasterawan, dramatis sangat jarang mengambil sikap. Ada antara kita selesa jadi golongan ‘carma’ atau cari makan, sedia untuk tidak bersikap. Inilah sebab segala kemungkaran terus membesar.
“Mujur, masih ada sekelompok seniman yang menyatakan sikap. Yang tahu kuning itu murni dan golongan seniman ini mula diganyang,” katanya, sinis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan