"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Artis cederakan isteri direman

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Seorang pelakon filem dan drama popular sekitar awal 90-an ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes memukul isterinya hingga mengakibatkan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan dan muka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Karimah Wan Abd Ghani bagi membantu polis menjalankan siasatan.

Kejadian itu berlaku di rumah artis berusia 41 tahun itu di Kampung Cheras Baru, Ampang di sini, Rabu lepas kira-kira pukul 7 pagi.

“Sebelum ini, pelakon itu telah menghilangkan diri sejak kejadian berkenaan berlaku dan tidak tahan dengan perbuatan suaminya, isteri pelakon itu yang berusia 28 tahun kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.

Antara filem terbitan tahun 90-an yang pernah dilakonkan oleh pelakon tersebut termasuk Harry Boy, Azizah — The Legend dan Riang Tirana.

Artis itu ditahan di sebuah restoran di Taman Nirwana kira-kira 11 malam tadi.

-Bernama-

Tiada ulasan: