"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salahuddin bertegas mahu Najib jelaskan `wang ehsan’

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 31 Mac
: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) bertegas mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung penggunaan istilah 'wang ehsan' yang didakwa mengelirukan dewan.

Beliau sebelum ini mendedahkan dokumen dan fakta berkaitan pembayaran royalti kepada Dewan Rakyat dan mendakwa perdana menteri itu telah mengelirukan Dewan Rakyat dalam jawapannya 4 November tahun lalu.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS sebelum ini memberikan tempoh tujuh hari kepada Najib dan kedudukan itu dijelaskan oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi dalam penjelasannya memberitahu, Najib mempunyai pilihan sama ada untuk memberi penjelasan atau tidak berhubung perkara yang dibangkitkan Salahuddin itu.

Menurutnya, Salahuddin sewaktu membangkitkan perkara itu sebelum ini tidak meminta Najib untuk datang memberi penjelasan.

Bangun selepas itu, Salahuddin berkata rekod hansard parlimen menunjukkan beliau menyatakan memberi peluang kepada Najib untuk membuat penjelasan dalam masa tujuh hari.

"Datuk (Yang Dipertua), dalam hansard saya, saya ada menyebut saya memberikan peluang kepada Perdana Menteri selama 7 hari untuk membuat penjelasan di dewan yang mulia ini, itu ada dalam hansard saya," tegasnya.

Beliau juga mengambil contoh penjelasan tentang APCO yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah diberi tempoh seminggu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz.

"Kalau saya berikan tempoh seminggu, apa salahnya Perdana Menteri datang ke parlimen menjelaskan apa maksud wang ehsan, apa maksud wang royalti supaya diberikan keadilan dan ruang yang sama (seperti Anwar) untuk memberikan penjelasan," katanya.

Terdahulu dewan dihangatkan dengan pertikaian isu Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) pada 24 Mac lalu yang dibenar bangun di bawah peraturan mesyuarat 37(1)(a) yang kemudiannya pula dicelah Menteri di JPM.

Menteri ketika itu mencelah dengan memberi tempoh seminggu kepada Anwar membuat penjelasan isu APCO, dan jika gagal, Anwar dicadang dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Anwar ketika membangkitkan perkara itu hari ini berkata, tindakan tersebut telah melanggari peraturan mesyuarat kerana menteri telah membuat cadangan berdasarkan peraturan yang salah.

Timbalan Speaker bagaimanapun menjelaskan pelanggaran peraturan mesyuarat yang berlaku adalah tidak begitu serius.

Dan jika ahli-ahli parlimen masih tidak berpuas hati, jelasnya, mereka boleh mengemukakan usul di bawah perkara 43 peraturan mesyuarat.

Tiada ulasan: