"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Saman Fitnah Zaid Terhadap Kadir 7 Julai

KUALA LUMPUR 29 MAC: Saman fitnah yang difailkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim terhadap Datuk A Kadir Jasin berhubung artikel dalam blognya, ditetapkan pada 7 Julai.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Anisah Normah Muhammad Nor menetapkan tarikh itu dalam kamar semasa mengadakan perjumpaan dengan peguam Datuk M.David Morais yang mewakili Zaid dan peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Kadir.

Azhar berkata mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak untuk menyerahkan ikatan pliding, dokumen, isu yang akan dibicarakan, fakta yang dipersetujui dan senarai saksi.

Pada 2 Dis, 2009, Zaid, yang kini ahli majlis tertinggi Parti Keadilan Rakyat menyaman Kadir berhubung artikel bertajuk "The Hurricane Hattie Of PR' yang ditulis pada 21 Okt, 2009, dalam 'The Scribe A. Kadir Jasin'.

Beliau memohon ganti rugi bagi memfitnah dan juga injunksi untuk menghalang Kadir dan lain-lain yang mempunyai rangkaian dengan blognya daripada terus menyiarkan atau menerbitkan artikel dan perkataan yang terkandung dalam artikel itu.

Zaid juga menggesa Kadir, bekas Ketua Pengarang New Straits Times Press Bhd, untuk memohon maaf dengan permohonan itu disiarkan dalam akhbar-akhbar utama.

Kadir, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Jan, berkata isi kandungan dalam kenyataannya itu mempunyai justifikasi dan komen yang adil demi kepentingan awam.
-Bernama-

Tiada ulasan: