"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menang Soi Lek, untung Umno – PKR

Ismail Hashim
KUALA LUMPUR, 29 Mac:
Pengarah Pilihan raya PKR, Hajah Fuziah Salleh yakin kemenangan Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru adalah kemenangan Umno dalam mengawal MCA.

Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat, ia tidak banyak mendatangkan kesan positif kepada pengundi Cina khususnya di Hulu Selangor.

“Dengan mempunyai seorang presiden yang ada rekod skandal, tentu sekali Umno BN senang menundukkan MCA dengan apa cara sahaja menjadikan MCA sentiasa dalam kerugian.

“Lebih teruk lagi apabila telah terbukti pemimpin yang ada rekod atau skandal, maka yang lain tidak takut untuk buat salah sebab presiden sendiri ada rekod, jadilah nanti ibarat ketam hendak mengajar anak jalan lurus,” tegasnya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, sudah ternyata kini rata-rata orang Cina melihat MCA sudah tidak lagi menjadi penyelesai kepada permasalahan orang Tionghua khususnya.

Tambahan pula, jelasnya, MCA sekarang sudah berpecah kepada tiga puak yang sudah pasti akan mengambil masa yang lama untuk menyatukan semula dan memperkukuhkan MCA.

Apatah lagi kemenangan Dr Chua sebagai presiden menunjukkan ada krisis ketandusan kepimpinan terus berlaku dalam MCA kerana sudah sah tiada orang lain yang lebih layak sehingga yang ada skandal pun boleh menang, tambahnya.

Fuziah mengulas demikian ketika ditanya tentang kesan kemenangan Dr Chua sebagai Presiden MCA kepada pilihan raya kecil Hulu Selangor yang akan berlaku dalam 60 hari ekoran kematian Ahli Parlimennya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 26 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil pada Jumaat ini. Dalam pilihan raya umum 2008, P094 Hulu Selangor mempunyai pengundi seramai 63,593 terdiri daripada Melayu 54 peratus, Cina (26.7 peratus) dan India pula hanya 19 peratus.

Keputusan pilihan raya ke 12 pada 8 Mac 2008 lalu yang disifatkan sebagai kejadian tsunami kepada politik negara menyaksikan Datuk Dr Zainal Abidin menewaskan Palanivel a/l K. Govindasamy dari BN dengan majoriti 198 sedangkan pada 2004, Palanivel mendapat kelebihan sebanyak 14,483 undi.

Mengulas lebih lanjut, Fuziah berkata, kemenangan Chua merupakan liabiliti kepada MCA malah sudah pasti pengundi Melayu dan India yang menjunjung nilai murni dan parti yang utamakan rekod bersih akan menolak BN.

Bila ditanya bagaimana BN akan berhadapan dengan rakyat jelata dalam keadaan mereka sekarang, Fuziah berkata, BN memang amat bagus dalam usaha tipu helah dan memperdaya rakyat dengan janji manis dan projek mee segera dan tentu sekali fenomena ini akan berulang di Hulu Selangor.

Apatah lagi, tegasnya, semua media elektronik dan media cetak arus perdana dikawal oleh Kerajaan BN dan dengan semua agensi yang ada itu, mereka akan pergunakan sepenuhnya namun rakyat pasti akan menilai berlaku ketidak-adilan di situ.

Dalam hal ini, beliau kesal dengan kenyataan pihak SPR yang sudah umumkan pada 27 Mac lalu mengenai ‘jangan hebohkan tentang pengundi hantu’ ketika berlangsungnya PRK Hulu Selangor nanti yang disifatkan sudah menjadi ‘agensi’ BN atau parti komponen BN ke 15.

Menurutnya, PR dilihat mempunyai peluang besar sedangkan BN berusaha all out untuk menang, Fuziah menjangkakan akan berlaku ‘sesuatu’ akan berlaku khususnya dalam masa kempen nanti.

“Saya jangka kempen akan diusahakan oleh BN sehingga menjadi 'kotor' dan juga ganas, saya andaikan Pemuda Umno akan mengepung kampung-kampung tradisional Melayu dan akan bertindak liar serta ganas kepada petugas PR terutama kepada petugas wanita,” ujarnya.

Hajah Fuziah yang akan berlepas ke Bangkok bagi menghadiri Electoral Justice Workshop bermula 30 Mac hingga 1 April anjuran Asian Network for a Free and Fair Election (ANFREL) berharap pengundi Parlimen Hulu Selangor menggunakan hak mereka dengan mengundi dengan bijak dan tidak terpedaya dengan propoganda media.

Tiada ulasan: