Kerajaan Malaysia pimpinan Umno Barisan Nasional didesak memutus sebarang bentuk hubungan langsung dan tidak langsung dengan Israel Zionis sebagai bantahan keras terhadap kezaliman regim itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata tindakan tegas perlu bagi mengajar Israel Zionis yang bertindak zalim terhadap penduduk Palestin selama berdekad lamanya.
Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, kerajaan Malaysia perlu membuktikan kseungguhan komitmen mereka, bermula dengan tindakan tegas terhadap kehadiran Apco Woeldwide dan Asiasoft Ltd di negara ini.
“Saya dan rakan-rakan turut menyambut kepulangan pejuang daripada Gaza. Saya begitu kagum dengan semangat mereka. Semangat mereka, pengalaman mereka membuktikan sesuatu perlu dilakukan untuk mengajar kezaliman Israel,” katanya.
Bagi Shamsul Iskandar, perjuangan melawan kezaliman regim Israel Zionis bukan semata-mata mengadakan sambutan kepulangan sukarelawan tetapi perlu lebih dari itu.
“Hubungan dengan Israel termasuk hubungan dagang mesti dihenti segera dalam hal ini. Saya ingin tegaskan tentang Apco dan Asiasoft. Mesti ada pendirian tegas dari kerajaan untuk menghentikan kontrak Apco dengan kerajaan Malaysia.
"Tidak cukup sekadar meraikan mereka balik daripada Israel tetapi dalam masa yang sama bekerjasama dengan Zionis Israel," katanya lagi.
Shamsul Iskandar berkata, ketegasan dalam menentang regim zalim ini perlu merangkumi aspek ekonomi.
“Perlunya ketegasan dari kerajaan Malaysia untuk menyenarai mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi Zionis. Barangan keluaran Israel ini perlu disenarai kerajaan Malaysia supaya rakyat tidak membeli.
"Pada saya, perlu ada ketegasan begitu barulah bermakna pengorbanan mereka yang pergi ke Gaza menyabung nyawa membantu rakan-rakan kita di sana,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan