KUALA LUMPUR, 6 Jun: Pertemuan enam bulan sekali bagi membincangkan isu-isu menyentuh orang India anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor malam tadi hampir berakhir pergaduhan ekoran rasa tidak puas hati berhubung langkah-langkah diambil kerajaan negeri membantu komuniti tersebut.
Pertemuan diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam malam tadi.
Ia merupakan pertemuan kedua selepas yang pertama diadakan suku ketiga tahun lalu.
The Malaysian Insider difahamkan kekecohan tercetus selepas ada peserta yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak melakukan yang terbaik untuk masyarakat India termasuk dalam soal pelantikan anggota majlis.
Malah ada yang mendakwa PKR memberi ruang kepada ahli-ahli yang baru datang, dengan tidak memberi perhatian kepada mereka yang berada dalam dalam parti.
Beberapa peserta dikatakan ‘menyerang’ wakil-wakil rakyat PKR yang hadir, yang didakwa mengutamakan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menawarkan jawatan kerajaan khususnya ahli majlis.
Mereka dikatakan menegaskan “akan mengajar” PKR dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Perkembangan ‘mengejutkan’ itu diakui itu oleh Naib Pengerusi PKR Selangor M. Muthiah yang mempengerusikan pertemuan kira-kira empat jam.
Bagaimanapun jelas beliau kekecohan yang dimaksudkan “cuma kecil” berbanding pertemuan lebih tiga jam itu.
“Saya mempengerusikan mesyuarat ini. Rasa tidak puas hati memang wujud, tetapi kekecohan (yang dimaksudkan) cuma sekitar 10 minit sahaja, saya memberikan peluang kepada setiap orang bercakap.
“Tetapi apabila anda bercakap secara emosi, ini masalahnya... kita kena bercakap dengan fakta, bukannya beremosi... kadangkala saya nampak budaya lama berterusan, tetapi kita ambil masa untuk membetulkan keadaan ini,” kata Muthiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Bukit Melawati ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Muthiah berkata, beliau sudah menjangkakan masalah itu sebaik sahaja difahamkan SMS jemputan yang dikeluarkan telah diubahsuai.
“Apabila saya melihat, saya sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku,” katanya.
“Tetapi keadaan dapat dikawal... saya memberitahu mereka yang hadir bahawa jika bersikap sedemikian, kemungkinan sukar untuk memperoleh dewan seperti ini pada masa-masa akan datang.
“Bila saya memberitahu, mereka yang membuat masalah kelihatan tenang,” kata beliau yang turut mengakui telah meminta peserta agar tidak mendedahkan isu ini kepada media supaya tidak menjejasjan imej komuniti.
Ketua Ranting TTDI Jaya, Shah Alam K. Jehanson ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, kekecohan timbul kira-kira 11 malam.
“Perang mulut memuncak kira-kira 11 malam dan hampir berakhir dengan pergaduhan, tetapi telah dikawal, sehingga saya sendiri pun tidak dapat membangkitkan tiga isu,” katanya.
Ada yang mendakwa ‘kaki pukul’ juga hadir sama, tetapi Muthiah tidak dapat mengesahkannya.
“Saya tidak pasti,” kata Muthiah lagi.
Seorang peserta yang enggan namanya didedahkan berkata, dia dilarang membangkitkan isu pada pertemuan atas alasan bukan ahli PKR.
“Apabila dilarang, saya pun keluar... saya tidak mahu membuat hal,” katanya yang enggan mengulas lanjut atas alasan “tidak mahu meludah diri sendiri.”
Difahamkan isu yang turut dibangkitkan ialah mengapa tiadanya wakil masyarakat India dalam panel Selcat.
Difahamkan keadaan menjadi tidak terkawal kira-kira pukul 11 malam.
Pertemuan itu yang dihadiri kira-kira 200 orang berakhir tengah malam.
Ia merupakan pertemuan kedua selepas yang pertama diadakan suku ketiga tahun depan.
Muthiah mendakwa kekecohan dicetuskan oleh peserta yang tidak diundang hadir pertemuan itu.
“Kami edarkan jemputan menerusi SMS, tetapi ada pihak yang mengubah kandungan SMS dengan menjemput pihak-pihak tertentu yang tiada kaitan,” katanya.
Ekoran itu, turut hadir ialah Senator S Ramakrishnan dari DAP yang menjangka pertemuan tersebut terbuka kepada semua.
“Apabila dijelaskan Ramakrishnan pun faham dan beliau meninggalkan dewan selepas berucap ringkas... malah ada yang menjemput media, tetapi kami biarkan mereka terus berada dalam dewan,” katanya.
Wakil rakyat PKR yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dan Adun Sri Andalas Dr. A. Xavier Jayakumar yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Selaku Exco, Xavier didakwa menjadi serangan sebahagian besar peserta.
Xavier tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi beliau selaku wakil kerajaan negeri.
Ketika ditanya sama ada kekecohan ini menggambarkan sokongan masyarakat India kepada PKR dan Pakatan Rakyat akan terjejas, Muthiah menyangkal tanggapan sedemikian.
“Tidak, tidak... yang pentingnya kami mendengar rintihan mereka,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan