"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Forum Palestin: Rakyat Malaysia Bersamamu esok

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 8 Jun:
Forum Umum Aqsa Syarif yang bertemakan Palestin: Rakyat Malaysia Bersamamu akan diadakan esok, 9 Jun bermula jam 8.00 malam di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai manifestasi sokongan padu dan solidariti rakyat Malaysia.

Pengarah program, Zaharudin Othman berkata ahli panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum akan berkongsi pandangan dan keprihatinan mereka terhadap perjuangan Palestin.

“Acara kemuncak program ini ialah testimoni yang jelas dan tepat dari sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara ketika serangan tentera rejim zionis Israel,” ujarnya.

Katanya, program itu merupakan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada sukarelawan Malaysia tentang apa yang berlaku.

“Program ini merupakan program bersama keluarga yang bermakna sempena cuti sekolah. Para hadirin akan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dan penampilan khas oleh aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang akan mendeklamasikan puisi Palestin serta persembahan multimedia,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dengan menghubungi wakil Aqsa Syarif Wilayah Persekutuan dan Selangor iaitu Ammar (019 2777202), Mohd Azmi Mohd Amin (019 2255367), Yusof Ahmad (019 2256115), Siti Aishah (013 3670010), Mohammad Mundzir (013 3653963) atau layari laman sesawang http://aqsasyarif.com/.

Menurutnya, Aqsa Syarif yang bermaksud ‘Masjid Yang Dimuliakan’ ditubuhkan dan didaftarkan di Malaysia sebagai suatu organisasi yang berprofil sukarela di atas dasar kemanusiaan.

Jelasnya lagi, Aqsa Syarif mempunyai empat misi iaitu penyebaran maklumat, bantuan kemanusiaan, bantuan kewangan dan kerjasama yang dianggotai oleh sembilan orang ahli lembaga dari berbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.

“Mereka berganding bahu menyumbang tenaga dan fikiran untuk kebaikan Palestin dan dunia secara amnya,” ujarnya.

Tiada ulasan: