Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Jafperi Othman berkata berasaskan kajian, masalah hutang menyebabkan tekanan khususnya pada kalangan suami yang membawa kepada pergaduhan dengan isteri dan seterusnya mendorong penceraian.
Justeru bakal suami harus memantapkan kedudukan ekonomi mereka sebelum berkahwin kerana alam perkahwinan yang dibebani hutang akan menimbulkan masalah kepada rumah tangga, katanya berucap pada perhimpunan bulanan, di sini hari ini.
Beliau juga bimbang dengan kadar penceraian yang semakin meningkat di negeri itu sejak kebelakangan ini iaitu daripada 458 kes pada 2008 kepada 502 pasangan tahun lepas.
Untuk tahun ini sehingga 15 Mei lepas, seramai 120 pasangan Islam telah bercerai di negeri ini, katanya.
“Kesan buruk yang dihadapi apabila berlaku perceraian ialah nasib anak-anak pasangan itu yang sudah pasti kurang mendapat perhatian dan kasih sayang ibu bapa mereka yang telah berpisah,” katanya.
Beliau berkata sememangnya perkahwinan digalakkan bagi membendung pergaulan
bebas namun pada masa yang sama ikatan itu tidak harus dibubar dengan mudah.
Jafperi juga bimbang dengan gejala sosial di negara ini yang menyaksikan 17,303 anak tidak sah taraf dilahirkan sepanjang tahun lepas.
Ibu bapa hendaklah sentiasa awasi pergaulan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan gejala sosial itu yang akan memberi kesan buruk bukan saja kepada keluarga, tetapi masyarakat dan juga negara, katanya.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan