"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri curang

SALMAN HAMAT
JOHOR BAHRU: Meskipun masih bersuami, seorang penjual minyak lintah berusia 30-an sanggup menjaja air mata dengan mendakwa dirinya janda selepas kematian suami beberapa bulan lalu demi memastikan ‘saham’nya tidak jatuh di kalangan lelaki berhidung belang di sekitar bandar raya ini.

Lebih mengejutkan, wanita bermata duitan itu dalam diam berlaku curang apabila turut menjaja tubuhnya tanpa pengetahuan suami.

Perbuatan suka-suka itu bagaimanapun dikatakan menjadi rutin wanita berkenaan hingga sanggup bertukar teman tidur demi memperoleh bayaran antara RM200 hingga RM300 setiap kali keluar bersama teman lelakinya.

Wanita terbabit juga dikatakan mempunyai keinginan pelik apabila hanya mensasarkan lelaki berusia 40 hingga 50-an yang kesunyian dan memerlukan teman untuk berhibur.

Bagaimanapun, kecurangannya mula disedari suaminya apabila wanita terbabit sering tidak pulang ke rumah pada waktu malam dengan mendakwa jualan minyak lintahnya mendapat sambutan luar biasa, sebaliknya dia didapati menemankan teman istimewanya.

Suami mangsa dikenali sebagai Azman, 40, berkata dia mula menyedari perubahan sikap teman hidupnya selepas isterinya gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu sejak hampir 10 bulan lalu.

“Saya yang bekerja sebagai buruh binaan sering mempunyai kontrak di luar Johor hingga menyebabkan dia berpeluang bertemu dengan lelaki berkenaan sesuka hati... lebih menyakitkan hati apabila dia secara terang-terangan berani keluar walaupun saya ada di rumah.

“Saya pernah cuba berbincang dengannya untuk menyelesaikan masalah ini tapi dia kerap memberi alasan, termasuk sudah tidak serasi dan lebih gemar melayan lelaki dikenali di luar kerana membolehkannya hidup selesa.

“Paling menyedihkan apabila saya pernah terbaca beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah dikirim lelaki yang pernah melanggannya menyatakan hasrat untuk bertemu dan ingin memuaskan nafsu,” katanya ketika ditemui semalam.

Azman berkata, demi menyelamatkan rumah tangganya termasuk mengenangkan masa depan anak, dia menghubungi seorang daripada lima lelaki yang menjalin hubungan sulit dengan isterinya dan memberitahu perkara sebenar.

“Dalam perbualan itu, lelaki terbabit terkejut apabila saya mengaku suami kepada wanita yang dikenalinya.

“Walaupun pada awalnya dia menyatakan tidak tahu perkara itu dan hanya melayan isteri saya selepas mengaku janda, kemudian dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan isteri saya jika kami berpisah hingga menyebabkan saya buntu dengan apa yang berlaku,” katanya.

Azman berkata, buntu dengan perangai isterinya yang tiada kesudahan, dia merujuk perkara itu kepada Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru sebagai usaha terakhir menyelamatkan perkahwinan hampir 12 tahun.

“Bagi mengelak kejadian tidak diingini, saya juga membuat tiga laporan polis berhubung kelakuan isteri di Balai Polis Pasir Gudang, termasuk pada 2 Mei dan 19 Mei lalu,” katanya.

Tiada ulasan: