Syed Imran
Pengakuan seorang perajurit bersara yang mengetaui sebuah persatuan yang tidak berdaftar bahawa dia membayar RM250 ribu untuk mendapat anugerah gelaran 'datuk' dari sebuah negeri di utara Semenanjung, bukan sahaja mengaibkan tetapi memperlihatkan kegelojohan manusia untuk mendapat gelaran dan anugerah.
Ia bukan perkara baru bahkan dikatakan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan membabitkan beberapa buah negeri.
Isu 'pembelian' gelaran datuk hangat diperkatakan pada tahun 2003 semasa saya bertugas di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Pada waktu itu, hampir semua pentadbiran negeri menafikannya walaupun ianya berlaku. Pengakuan perajurit bersara itu membuktikan kebenaran dakwaan tersebut.
Saya masih ingat betapa pihak kami, iaitu Pejabat Menteri, menerima banyak maklumat dan maklum balas dari seluruh negara berkaitan isu 'jual beli' anugerah datuk yang dibangkitkan dalam akhbar. Hasil daripada maklumat dan maklum balas itulah yang mendedahkan sekurang-kurangnya 10 negeri terlibat.
Jumlah wang yang 'agak besar' dibayar kepada 'kaki' atau ejen untuk mendapatkan gelaran tersebut.
Keghairahan pihak-pihak tertentu, terutama orang politik dan ahli perniagaan, untuk mendapat gelaran 'datuk' kononnya kerana menerusi gelaran tersebut, mereka berupaya membuka peluang perniagaan yang lebih besar selain daripada membolehkan mereka berada dalam 'kelas tertentu' di kalangan masyarakat 'terhormat'.
Majalah MASSA keluaran 27 Sept-3 Okt 2003 menyiarkan tulisan Ku Seman Ku Hussain mengenai isu penganugerahan gelaran datuk yang banyak.
Ku Seman membuka tulisannya dengan kata-kata berikut; ''Secara yang sangat sinikal ada orang berkata, di negara ini kalau dilambungkan sebiji batu, batu itu pasti jatuh di atas seorang yang paling kurang bergelar datuk. Ini sebenarnya jenaka kedai kopi. Walau pun ia bertaraf jenaka kedai kopi mengenai sekian banyak yang mendapat datuk, tetapi memang ada kebenarannya. ''
Mingguan Malaysia bertarikh 9 Nov 2003 pula memuatkan ulasan Awang Selamat yang antara lain menulis ''Menganugerahkan bintang kebesaran serta pingat kepada rakyat jelata yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada bangsa dan negara serta memberi sumbangan terpuji memang baik dan tidak boleh dipertikaikan. Yang dipersoalkan hanyalah tentang betapa mudahnya ia dianugerahkan dan betapa kadangkala ia tidak setimpal dengan sumbangan yang diberikan.''
Tokoh bahasa Dr Awang Sariyan pula dipetik oleh majalah MASSA sebagai berkata;''Bayangkan apabila beratus ribu rakyat kita mudah mendapat gelaran Datuk, Datuk Seri dan TanSri secara bebas. Ini merupakan satu perkara yang juga boleh dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records.''
Saya masih ingat akan satu kes di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada tahun 2004 di mana seorang pengarah eksekutif memberitahu mahkamah bahawa dia membayar sejumlah RM150 ribu untuk mendapatkan gelaran 'datuk' bagi ibunya.
Baca selanjutnya di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan