"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dun: Umno putar belit tafsir undang-undang?

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 21 Jan: Umno disifatkan sengaja memutarbelit tafsiran undang-undang apabila mengatakan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Khim tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong.

Sebaliknya, speaker Dun negeri sememangnya mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang berhubung dengan dewan yang diketuainya dan berhak mengisytiharkan kekosongan sesuatu kerusi Dun jika menepati tafsiran undang-undang.

Semalam, Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun dalam reaksinya mengatakan Teng tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi Dun Pelabuhan Klang. Sebaliknya, yang berhak menentukan kekosongan kerusi itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, Speaker Dun Selangor hanya bertanggungjawab untuk memaklumkan kekosongan kerusi Dun secara bersurat.

Oleh itu, beliau berpendapat, tindakan Speaker Dun Selangor yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dun Pelabuhan Klang itu sebenarnya adalah cubaan untuk membawa kes Kota Seputeh, Kedah untuk diguna pakai dalam hal di Pelabuhan Klang.

Pakar perundangan, Prof A. Aziz Bari dalam ulasannya bagaimanapun berkata, dari segi prinsip undang-undang, speaker sememangnya mempunyai kuasa untuk mentafsir undang-undang berhubung dengan dewan yang diketuainya.

Sebaliknya, SPR tidak wajar mentafsir status kerusi tersebut memandangkan secara tradisinya menjadi hak dan tanggungjawab seorang speaker untuk menentukan kekosongan sementara sesebuah kerusi pilihanraya.

"Tetapi mengambil kira perkembangan di Perak dan Kedah, apabila keputusan speaker dibawa ke mahkamah dan diputuskan oleh SPR, masih awal untuk meramalkan status kerusi Pelabuhan Klang.

"Dengan itu, kita perlu menunggu apa yang akan berlaku seterusnya di Selangor," katanya kepada wartawan.

Dalam hubungan ini, katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, yang diisytiharkan hilang kerusinya itu semalam, berhak untuk membawa pertikaian tersebut ke mahkamah jika merasakan keputusan Teng Chang itu sebagai tidak sah.

Menurutnya, buat masa sekarang pertikaian adalah antara speaker dan wakil rakyat berkenaan. Jika Badrul Hisham tidak berpuas hati dengan keputusan Teng, dia boleh membawanya ke mahkamah.

“Badrul boleh membawa perkara itu ke mahkamah sebab dia merupakan pihak yang terlibat dalam kes ini. Speaker sebagai ketua dewan dan pengerusi dewan bertanggungjawab untuk menentukan status seseorang wakil rakyat dan kerusi dewan," katanya.

Di Perak, keputusan (Speaker) V. Sivakumar mengosongkan tiga kerusi Adun yang melompat parti, dipertikai oleh SPR dan kemudian disahkan oleh mahkamah.

Berdasarkan kes mahkamah terhadap Adun Behrang dan dua yang lain di Perak, kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi itu terletak pada SPR.

“Di Kedah pula, keputusan speaker yang melaksanakan peruntukan perlembagaan terhadap kerusi Dun Kota Seputeh sebagaimana di Selangor semalam, masih tergantung.

"Tema pokok dalam semua kes-kes itu, meskipun isu dan faktanya berbeza; yakni pilihan raya perlu dielakkan. Inilah yang menyedihkan kerana ini bukan kerja mahkamah. Ia juga bukan kerja SPR. Kerja SPR ialah menjalankan pilihan raya bila berlaku kekosongan, tetapi ini kerja speaker,” tegas Aziz.

Tiada ulasan: