"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga Remaja Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman

MELAKA: Tiga lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di badan dipercayai akibat pergaduhan di Jalan Kampung Solok, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, malam Jumaat.

Mayat Lan Ee Shen, 20, dan Chong Sang Keong, 17, ditemui di tempat kejadian manakala Tai Chi Yong, 18, mati ketika mendapat rawatan di Hospital Terendak.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, berdasarkan siasatan awal polis percaya kejadian itu mungkin berpunca daripada pergaduhan antara dua kumpulan.

"Pada mulanya polis menerima laporan daripada penduduk kampung mengenai kejadian kemalangan jalan raya.

"Kami menemui dua motosikal dipercayai milik mangsa serta telefon bimbit dan dompet milik mangsa. Tiada senjata ditemui di sekitar kawasan kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Tai dibawa oleh bapanya ke hospital untuk rawatan. Ketiga-tiga lelaki itu berasal dari Taman Mengkuang, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Chuah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Lan Soon Heng, 49, ketika ditemui berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan anaknya (Lan Ee Shen) itu pada pukul 10.40 malam.

"Saya terus ke tempat kejadian dan ketika saya tiba di sana, saya nampak anak kedua saya itu di tepi jalan, dia masih hidup...badannya cedera parah dengan kesan tikaman.

"Dia mati beberapa minit kemudian...saya tak sempat nak bawanya ke hospital," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: