"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Marah isteri belasah mentua

Mohd Firdaus Ibrahim
KUALA LUMPUR: Bukan sekadar cermin dua kereta dipecahkan, malah bapa mentua dan adik ipar sendiri turut dicederakan seorang lelaki yang naik angin selepas isterinya tidak mahu pulang ke rumah kerana menghadiri majlis pertunangan adiknya.

Kejadian berlaku di rumah bapa mentua terbabit di Jinjang di sini, malam Ahad lalu, selepas dia yang berusia 50-an campur tangan untuk meredakan kemarahan menantunya yang berusia 30-an.

Sumber polis berkata, selepas mengamuk dan memecahkan cermin dua kereta di rumah bapa mentuanya, menantu berkenaan meninggalkan tempat kejadian selepas ditenangkan bapa mentuanya.

Namun, kemarahannya nyata belum reda apabila dia menghubungi adik iparnya yang berusia awal 20-an kira-kira jam 10 malam kononnya mahu berjumpa bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Adik iparnya yang ditemani dua rakan berusia awal 20-an serta bapanya pergi menemui suspek di sebuah restoran berhampiran kawasan perumahan mereka.

“Bagaimanapun, semua mereka tiba-tiba diserang sekumpulan 10 lelaki tidak dikenali bersenjatakan kayu dan besi dipercayai rakan suspek,” katanya.

Sumber itu berkata, walaupun dapat melarikan diri, dua daripada empat mangsa termasuk bapa mentua suspek cedera pada tangan dan badan.

“Keempat-empat mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jinjang. Dua daripada mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, semua kejadian itu berpunca daripada sikap baran suspek.

“Suspek berang apabila isterinya enggan patuh kepada arahannya supaya pulang ke rumah sebaliknya terus menghadiri majlis pertunangan adiknya,” katanya.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berkahwin dua tahun lalu memang mengalami masalah rumah tangga kerana sering bertengkar.

Sumber itu berkata, suspek bagaimanapun ditahan berhampiran kawasan rumahnya kira-kira jam 11 malam kelmarin, namun rakannya yang lain masih dikesan.

Suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.
-hmetro-

Tiada ulasan: