"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja perempuan diikat dan dikelar sebanyak 18 kali

BEGINI...Ainal Mardiah menunjukkan cara dia diikat dan dicederakan penjenayah yang menceroboh rumahnya.
BEGINI...Ainal Mardiah menunjukkan cara dia diikat dan dicederakan penjenayah yang menceroboh rumahnya.
KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan bukan saja diikat, malah turut menderita kesakitan apabila dikelar sebanyak 18 kali menggunakan pisau lipat dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pauh Belukar, di sini, Isnin lalu.

“Mereka ikat kaki dan tangan saya sebelum mengelar lengan sebanyak 18 kali dengan pisau lipat,” kata mangsa, Ainal Mardiah Mahmud 18, ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa yang baru pulang dari rumah neneknya di Kampung Che Deris untuk membasuh pakaian terkejut sebaik mendapati dua ‘tetamu tak diundang’ berada di ruang tamu.
TRAUMA...Ainal Mardiah (kanan) bersama Maselamah menunjukkan tangannya yang dikelar penjenayah yang menceroboh rumahnya.
TRAUMA...Ainal Mardiah (kanan) bersama Maselamah menunjukkan tangannya yang dikelar penjenayah yang menceroboh rumahnya.
“Ketika membuka pintu, saya tergamam melihat kelibat dua lelaki tidak dikenali dan pada masa sama, kepulangan saya mengejutkan mereka. Penjenayah itu kemudian menangkap saya sebelum kedua-dua tangan dan kaki diikat dengan tudung.

“Selain itu, mereka menutup mulut bagi mengelak saya menjerit,” katanya.

Menurutnya, dia yang ketakutan terus menjerit sekuat hati meminta pertolongan walaupun diugut kedua-dua penyamun itu untuk mencederakannya.

“Akibat marah dengan tindakan saya, mereka bertindak ganas dengan mengelar lengan kiri menggunakan pisau lipat. Tidak cukup dengan itu, mereka turut menampar kedua-dua pipi bagi menakutkan saya.

“Namun saya tidak peduli dan terus menjerit serta meronta menyebabkan mereka panik dan melarikan diri dengan sebuah basikal diletakkan di belakang rumah,” kata anak bongsu daripada 10 beradik ini.

Katanya, selepas ditinggalkan dalam keadaan berlumuran darah, dia terpaksa menggagahkan diri membuka ikatan pada kaki dan tangannya.

“Walaupun kesakitan, saya berjaya melepaskan ikatan sebelum keluar meminta bantuan jiran dan menghubungi sepupu, Mohd Anuar Ibrahim, 24.

“Tidak lama kemudian, sepupu datang dan membawa saya ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan susulan,” katanya.

Ibu mangsa, Maselamah Abdullah, 57, berkata dia terkejut selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak bongsunya itu.

“Walaupun sebelum ini rumah saya sering diceroboh, namun kali ini pencuri sanggup bertindak ganas,” katanya yang tiada di rumah ketika kejadian.

Katanya, dia membuat laporan kejadian menimpa anaknya itu di Balai Polis Badang, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata suasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek terbabit.
-hmetro-

Tiada ulasan: