GURU Yoga, Abdul Malik Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 5 Shah Alam atas dua tuduhan merogol pelajarnya berusia 15 tahun, di lokasi berasingan di Hulu Selangor tahun lalu. - Foto Roslin Mat Tahir
SHAH ALAM: Seorang guru yoga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun pada Februari dan November tahun lalu.
Abdul Malik Abdullah, 55, dari Batu Caves dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.
Tertuduh didakwa merogol mangsa di Kampung Dato' Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, pada kira-kira jam 8 malam pada Februari tahun lalu.
Abdul Malik yang ditahan pada 2 Januari lalu, juga didakwa merogol mangsa yang sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara 5 petang dan 6 petang pada November tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim membantah sebarang jaminan diberi kepada tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukannya serius kerana membabitkan mangsa di bawah umur.
Beliau berkata, hubungan antara tertuduh yang juga guru yoga kepada
mangsa juga memungkinkan tertuduh menganggu mangsa, lebih-lebih lagi merekatinggal berdekatan.
Abdul Malik yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan kesihatannya tidak berapa baik dan perlu menanggung enam anak angkat.
Latifah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan melantik peguam.
Terdahulu, Abdul Malik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 2.70 gram.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan semula kes.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan