"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hafiz minta cerai dari BAM

KUALA LUMPUR: Sejurus tewas kepada pemain pilihan ketiga dari China, Chen Long pada perlawanan pusingan pertama sebentar tadi (Rabu), pemain perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim membuat pengakuan mengejut dengan menyuarakan hasrat mahu bergerak secara bebas bersama kelab lain dan meminta restu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya melepaskan pemergiannya.

Perlawanan yang berlangsung selama 39 minit itu menyaksikan Hafiz tewas 21-14, 21-16.

Menurut Hafiz, dia sudah menyuarakan perkara itu kepada Setiausaha Agung, Ng Chin Chai untuk diutarakan kepada BAM tetapi sehingga kini tiada kata putus diterima daripada badan induk tersebut.

"Saya ada bertemu Chin Chai pada Krismas lalu untuk berbincang mengenai perkara itu. Namun saya tidak tahu sama ada dia sudah sampaikan hal ini kepada Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh," katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas tamat perlawanan.

Begitupun, bekas juara All England 2003 itu memberitahu dia sudah berbincang dengan BAM tetapi badan induk tersebut mahu dia kekal, memandangkan kontraknya masih sah sehingga Sukan Olimpik 2012.

"Saya mahu keluar secara baik. Oleh itu, saya meminta kebenaran daripada BAM untuk mencari kelab lain. Saya tidak mahu tindakan yang terburu-buru kelak menyebabkan saya digantung menyertai sebarang perlawanan oleh BAM," ujarnya.

Hafiz yang menyertai BAM sejak Mei 2008 turut mahu jawapan daripada BAM berhubung tindakan badan induk itu mengekalkan dalam skuad utama walaupun dia berdepan prestasi tidak menentu ketika ini.

"Saya tidak kisah jika mereka mahu saya kekal tetapi saya mahukan jawapan mengapa mereka masih mengekalkan saya sedangkan prestasi saya tidak konsisten," jelasnya.
-mstar-

Tiada ulasan: