"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir dipenjara 5 tahun dan sebat 6 kali

KUCHING 19 Jan: Akibat mencederakan seorang lelaki dengan pemutar skru untuk merompak wang RM1, seorang penganggur terpaksa meringkuk di penjara selama lima tahun dan sebatan lapan kali.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Nixon Kennedy Kumbong memerintahkan demikian ke atas Mahathir Wahab, 23, selepas lelaki itu hari ini mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan tertuduh pada hari kejadian.

Mahathir dari Kampung Bintawa Ulu, di sini mengaku mencederakan Mohd. Hafizi Kasran menggunakan pemutar skru semasa merompak RM1 daripada lelaki terbabit.

Kejadian itu berlaku di Tebingan Kuching berhampiran sebuah kafe di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pada pukul 5.30 petang, 17 November tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Menurut fakta kes yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yin Tin, pada hari kejadian, Mohd. Hafizi sedang duduk bersama seorang rakan di Tebingan Kuching sebelum mereka didatangi lelaki tidak dikenali yang meminta RM1.

Mohd. Hafizi bagaimanapun tidak mempedulikan permintaan lelaki itu dan beredar ke tempat lain tetapi masih diekori oleh tertuduh lalu pengadu mengeluarkan dompet dan menyerahkan wang RM1 kepada tertuduh.

Secara tiba-tiba, tertuduh mengeluarkan pemutar skru dari saku seluar panjangnya dan mengacu belakang Mohd. Rafizi serta mengatakan mustahil pengadu hanya memiliki RM1 dalam dompetnya lalu meminta tambahan RM1 lagi.

Tertuduh kemudiannya bertindak menikam dan menendang belakang pengadu menyebabkan mangsa mengeluarkan RM1 dari dompetnya lalu dilontar ke arah kaki tertuduh sebelum melarikan diri dengan rakannya.

Kira-kira pukul 5.35 petang hari yang sama, lelaki itu telah ditangkap polis dalam Ops Payung dan pemeriksaan terhadap tertuduh telah menemui sebatang pemutar skru di dalam saku seluarnya.

Mohd. Rafizi yang cedera di belakang badannya kemudian telah dipanggil untuk melakukan kawat cam pada 22 November lalu dan mengenal pasti tertuduh. 
-utusan- 
*bukan Tun Mahathir, nama je serupa - kerengga

Tiada ulasan: