"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi derhaka, lagi gemilang

Penarik Beca
Selepas membaca posting dua kawan yang saya hormati "Ceramah 'Umno Derhaka Lagi' di Taman Melewar 26 Januari, Prof Dr Aziz Bari sifatkan Noh Omar buta Raja Berperlembagaan" (Tarmizi Mohd Jam 22/1/11) dan "Pindaan Undang2 Tubuh Selangor: Taat Mahathir atau Sultan?" (Abdul Rahman Abdul Talib 22/1/11), dengan tulus ikhlasnya saya mengulangi rasa terima kasih tidak terhingga kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tindakan terpujinya menerajui pindaan Perlembagaan 1993 yang mengkudungkan imuniti raja-raja. Sepatutnya beliau buat lebih dari itu.

Dan, dengan tulus ikhlas saya juga mengulangi rasa terima kasih tidak terhingga kepada Al-Marhum Ustaz Yusof Rawa dan Al-Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor kerana ketegasan mereka supaya PAS tidak mengundi menentang pindaan tersebut walaupun tidak menyokong kerana pada masa itu PAS berkawan dengan Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya tidak lupa antara kata-kata Ustaz Yusof yang diberitahu kepada saya. Dalam salah satu mesyuarat atau perbincangan menjelang pindaan itu, lebih kurang dia kata, seperti yang saya diberitahu: "Hang tau dak Nik Aziz, patik tu makna dia anak anjin!"

Saya selalu menyebut bahawa amat jarang saya menyokong Dr Mahathir kecuali dalam dua tindakannya yang saya sokong sungguh-sungguh:

1. Mengkudungkan imuniti raja-raja
2. Memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.

Menjelang pilihan raya 2008, saya tambah satu lagi tindakan Dr Mahathir yang saya sokong habis-habisan iaitu tindakannya menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjadi Perdana Menteri. Selain dari tiga perkara itu, saya tak ingat saya ada menyokong tindakan Dr Mahathir. Nak kata tak dak langsung, takut menipu pulak. Lebih baik kata tak ingat.

Saya juga tak boleh memadam fakta sejarah bahawa saya kutuk sakan Dr Mahathir ketika dia menjadi Perdana Menteri. Selepas dia bersara, saya tidak nampak ada sebarang keperluan untuk mengutuk orang tua itu. Soal perbezaan pendapat, itu perkara biasa. Yang menjadi isu bagi saya ialah apa yang saya lihat dan rasai sebagai salah guna kuasa.

Benarkah sokong raja dapat undi banyak dari orang Melayu? Saya tak ingat banyak contoh. Masih berlegar kepada pindaan Perlembagaan yang mengkudungkan imuniti raja-raja.

Pergi baca wikipedia fasal pilihan raya umum 1995. Antara lain ditulis bahawa:
Dengan kemenangan 162 kerusi daripada 192 kerusi dalam Dewan Rakyat, ini merupakan 84.4% daripada jumlah kerusi, dan merupakan satu kenaikan sebanyak 19.6% berbanding pilihan raya yang terakhir; bilangan undi sebanyak 65.2% merupakan satu kenaikan sebanyak 22.0%. Ini adalah satu perbaikan yang amat besar bagi kerajaan Dr Mahathir.
Kejayaan dari rakyat itu diperolehi oleh Dr Mahathir selepas dijerit-jeritkan kepadanya dengan kata-kata penderhaka raja.

Menjelang pindaan perlembagaan itu juga, antara yang paling kuat menyokong raja ialah orang-orang PAS Kelantan, Pahang dan Terengganu. Pada pilihan raya itu, PAS Kelantan serta Semangat 46 yang menjadi rakan PAS ketika itu mendapat undi yang lebih buruk berbanding pilihan raya 1990. PAS Terengganu terus kempunan hendak memerintah negeri itu. PAS Pahang tak payah cakap la.

Tetapi yang lebih menarik ialah sejarah Tan Sri Annuar Musa. Pada 29 April 1993, Annuar ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan telah menabal Tengku Ibrahim Petra di majlis pemasyhuran Anugerah Kecemerlangan Indera Petra. Annuar dilabel penderhaka kepada Sultan Kelantan pada masa itu.

Selepas dicop penderhaka itulah beliau mencipta salah satu kemenangan gemilang dalam kerjaya politiknya. Dalam pilihan raya 1995, beliau mengalahkan Cik Gu Rafei Mat Salleh dan terpilih sebagai Ahli Parlimen Peringat dengan majoriti 1,935 undi! Di Kelantan, di mana majoriti yang diperolehi biasanya sangat marginal, majoriti sedemikian adalah sangat gemilang. Perlu diingatkan bahawa Rafei pada masa itu ialah calon Semangat 46 yang gila-gila menyokong raja dan histeria sakan menentang usaha murni Dr Mahathir mengkudungkan imuniti raja-raja.

Kepada saya, pengajaran dari sejarah Annuar itu ialah: Lagi kuat dijerit-jerit kepadanya kata-kata derhaka kepada raja, lagi gemilang kemenangan yang diperolehinya dalam pilihan raya yang bertunjangkan undi rakyat.
Raja manakah di Malaysia yang boleh menandingi kuasa "raja" yang melambai ini?

Tiada ulasan: