"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak setahun 10 bulan tersesat di dalam hutan selama 20 jam ditemui semula

MOHD. AZLI ADLAN
 
ABDUL WAHID (tengah) memeluk Nor Aishah yang ditemui dalam kawasan paya di Kampung Lintah, Slim River semalam.
SLIM RIVER: Seorang kanak-kanak berusia setahun 10 bulan menghadapi saat-saat cemas apabila tersesat di dalam hutan kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya di Kampung Lintah, Slim Village di sini, tengah hari kelmarin sebelum ditemui 20 jam kemudian.

Nor Aishah Umairah Zamzuri dijumpai semula dalam keadaan berdiri di dalam kawasan berlumpur dengan sebahagian kakinya ditenggelami selut hingga paras betis sambil menangis.

Dia ditemui dua penduduk Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan hutan tersebut untuk menoreh getah di ladang getah berhampiran pada kira-kira pukul 7.30 pagi semalam sebelum memaklumkannya kepada penduduk kampung yang menyertai dalam operasi mencari.

Semasa ditemui, tubuh Nor Aishah dipenuhi lumpur hingga ke paras leher selain banyak kesan gigitan serangga dan calar-balar. Kedua-dua tapak kakinya pula pecah dipercayai akibat berjalan berkaki ayam di dalam hutan terbabit.

Nenek mangsa, Norliah Zakaria, 50, berkata, dia menyedari kehilangan cucu sulungnya itu selepas pulang mengambil dua anaknya dari sekolah berhampiran pada pukul 1.30 petang kelmarin.
-kosmo-

Tiada ulasan: