"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Empat Anggota Polis Antara Sembilan Ditahan Berjudi Di Kuching

KUCHING, 20 Jan: Empat anggota polis berpangkat lans koperal adalah antara sembilan yang ditahan ketika leka berjudi di sebuah rumah kedai di Jalan Setia Raja, di sini Khamis.

Kumpulan itu termasuk seorang wanita sedang bermain 'holo' ketika mereka diserbu oleh sepasukan polis dari Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dalam Ops Limau awal pagi ini.

Bernama difahamkan empat anggota polis itu adalah dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang sudah habis bertugas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 50 tahun itu ditahan reman sehari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata kesemua anggota terlibat akan dikenakan tindakan tegas.

"Saya tidak boleh kata dalam sebakul epal tidak ada buah yang busuk, tetapi kita akan lakukan apa yang perlu.

"Kita akan membuat siasatan dan tindakan tegas akan diambil. Tiada kompromi atau double standard dalam menyiasat kes yang melibatkan anggota polis," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kuching di sini.
-Bernama-

Tiada ulasan: