"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS bela Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng baca ayat al-Quran sewaktu berceramah!


MURSYIDUL Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas pemimpin Umno yang melihat secara nagetif tindakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng yang membaca sepotong ayat al-Quran sewaktu berceramah dan berkempen di Bukit Gantang baru-baru ini.

Nga yang terguris dengan reaksi pemimpin Umno yang menuduh kononnya tindakan beliau membaca ayat al-Quran itu sebagai suatu penghinaan kepada Islam dan umatnya, melahirkan rasa kecewa dengan katanya "saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang".

Ketika kempen Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang berlangsung, sebuah badan NGO yang pro Umno telah membuat laporan polis terhadap Setiausaha DAP Perak itu dan pihak media "memanaskan" isu tersebut dengan mengutip komen dari MUfti Negeri Perak, Dato' Harusani Zakaria.

Dalam sepucuk surat Tuan Guru Nik Aziz kepada Nga, beliau amat mengalu-ngalukan tindakannya itu (membaca ayat al-Quran) dan menyifatkan pada zaman awal Islam, Abu Lahab yang bukan Islam pun dibenarkan membaca dan memahami Surah Al-Lahab.

"Pada saya, kesediaan Nga yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada perkembangan yang cukup menggalakkan. Apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran?" tanya beliau lagi.

Menteri Besar Kelantan itu mengakui terjemahan yang dibaca Nga adalah betul "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan" tetapi Umno sengaja menimbulkan isu itu untuk meraih undi.

Beliau bertanya, apa salah orang Cina mEmbaca al-Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam?

"Jika katakan tersalah (katakan), maka dengan lemah-lembut ia patut diperbetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal perlunya dibuat laporan polis oleh sesiapapun.

"Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan bukan Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang bukan Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam Surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam di dalam masjid," tegas Tuan Guru Nik Aziz.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali pulamenyifatkan perkembangan itu positif kerana bukan Islam berkehendak dengan al-Quran.

"Langkah Nga Kor Meng itu adalah kesan langsung apabila DAP 'berkawan' dengan PAS dalam Pakatan Rakyat. BN yang sudah lama bergabung dengan MCA dan MIC usahkan hendak membaca al-Quran tetapi hendak memberi salam pun susah.

"Jika Umno mengatakan pimpinan Pakatan Rakyat yang bukan beragama Islam tidak boleh menggunakan ayat al Quran dalam ceramah, di sana terdapat unsur-unsur mereka cuba untuk memisahkan agama dengan politik," tegas Mustapha.

Sementara itu, bekas Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropogi Universiti Malaya, Ann Wan Seng yakin apa yang berlaku adalah petunjuk orang-orang Cina boleh menerima Islam.

Cuma yang menjadi masalah, tegasnya, orang Islam tidak pernah mendekatkan diri kepada mereka. Melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat ini, DAP sudah dapat memahami dasar perjuangan PAS dan mereka juga telah mengkaji Islam dengan cara lebih ilmiah.

Dengan caranya ini, ujarnya, salah faham dan prejudis mereka terhadap Islam dapat ditangani secara bijak.

Ann berkata, BN sebenarnya tidak perlu gusar dan iri hati apabila rakan PAS dari DAP mampu berceramah dengan mengemukakan beberapa potong ayat suci al-Quran ketika berhujah dan menjawab beberapa isu yang berkaitan.

Tiada ulasan: