"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Raja Nazrin memalukan Raja dengan kisah Pak Kadok

Raja Dr. Nazrin didalam ucapannya ketika melancarkan buku "The Malays" hasil kajian Prof. Anthony Milner meminta rakyat untuk merenungi kisah kebodohan Pak Kadok memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan pihak lawan dan akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan. Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah tergadai (Rujuk Malaysiakini, 10 Mac 2009 disini).

Kisah Pak Kadok ini sebenarnya memalukan institusi beraja itu sendiri. Saya melihat perkara ini atas 2 perkara:

(1) Seorang rakyat diperbodohkan oleh Raja
Kisah Pak Kaduk ini bukan satu cerita dogeng, kisah ini adalah kisah benar yang pernah berlaku kerana masih terdapat warisnya di Perak dimana keturunan mereka tidak boleh memakan Ikan Tapah.

Kehebatan ayam sabong Pak Kadok bernama Biring Si Kunani memang terkenal seluruh negeri.
Raja terasa tercabar dan baginda tahu untuk mengalahkan Pak Kadok tipu helah perlu dibuat. Maka, sebelum pertandingan dijalankan Raja telah menetapkan syarat untuk menukarkan ayam Pak Kaduk yang hebat dan handal itu dengan ayam baginda, Si Jalak Putih Mata. Adalah malang bagi seorang rakyat yang mungkin sememangnya kurang ilmu, diperbodohkan lagi oleh seorang Raja!

Akhirnya tergadailah kampung halaman, anak dan isteri Pak Kaduk kepada seorang Raja. Pak Kadok yang pada awalnya bersorak apabila ayamnya Biring Si Kunani telah menang, tetapi pada hakikatnya dia terlupa akan perjanjian dengan Raja. Di pihak Raja, mungkin boleh dibanggakan dengan kehebatan baginda memperbodohkan seorang rakyat, tetapi adakah itu perlindungan yang sepatutnya diberikan oleh Raja kepada rakyatnya?

Raja Nazrin meminta rakyat merenungi kisah ini. Ya, sebagai rakyat kita perlu mengambil ikhtibar dari kisah ini kerana mungkin benar Raja-raja terus memperbodohkan rakyat? Tidak perlu saya memberikan jawapan, saya pasti masing-masing mempunyai intepretasinya sendiri.

(2) Raja dan tabiat berjudi
Jika saya ditempat Raja Nazrin, sudah semestinya saya tidak akan mengingatkan rakyat dengan kisah Pak Kadok ini. Hakikatnya sejarah memang tidak boleh dipadam, tetapi sesuatu sejarah yang hitam itu kita akan cuba untuk melupakannya.

Kisah Pak Kadok ini
mengingatkan rakyat betapa Raja-raja ini mempunyai tabiat gemar berjudi. "Hikayat Abdullah" tulisan Abdullah Kadir Munshi juga menceritakan mengenai tabiat berjudi Raja-raja Melayu ini. Satu petikan dari Hikayat Abdullah,
"Apabila Raja-Raja itu menghendaki baik anak-anak perempuan atau barang suatu benda raayat-nya, di-ambil-nya sahaja dengan tiada menjadi sa-suatu kesusahan atau takut kepada Allah’... ‘Jikalau anak (Raja) itu lagi kechil, di-carikan-nya anak-anak perempuan yang kechil menjadi kawan-nya bermain, dan tatkala sudah besar anak (Raja) itu di-sediakan-nya gundek, dan di-beri-nya keris akan dia, maka orang-orang negeri pun memberi hormat dan takut akan-nya sebab anak Raja, maka barang kehendak-nya di-perbuat-nya-lah ke-atas raayat, maka sekalian raayat itu pun tiada-lah menegah-nya. Maka bapa-nya itu pun melawan anak-nya bermain judi dan menyabong; maka ia tiada wang, di-beri-nya wang..." (Hikayat Abdullah, muka surat 345).

Mungkin ramai yang menghukum Abdullah Kadir Munshi sebagai agen Inggeris yang di tugaskan untuk mengkritik institusi Raja-raja Melayu pada ketika itu, tetapi sekali lagi ini terpulang kepada intepretasi kita. Bagi saya tulisan Abdullah Kadir Munshi itu boleh diterima kerana beliau memperkata apa yang beliau lihat dan alami pada zaman itu. Falsafahnya mudah saja, jika tulisan Abdullah Kadir Munshi yang banyak mengutuk Raja itu adalah satu kesalahan besar, mengapa Hikayat Abdullah ini dijadikan teks sastera STPM di sekolah-sekolah Malaysia?

Apa yang boleh saya rumuskan disini ialah titah ucapan Raja Nazrin yang meminta rakyat merenungi kisah Pak Kadok itu sebenarnya akan memalukan institusi Raja-raja Melayu itu sendiri. Kisah ini akan mengingatkan rakyat betapa seorang rakyat yang lemah telah diperbodohkan oleh seorang Raja yang berkuasa. Begitu juga kisah ini mengingatkan rakyat betapa judi itu adalah tabiat Raja-raja Melayu. Apa-apa pun kita berharap agar negeri Raja Nazrin sendiri tidak diperjudikan untuk kepentingan tertentu. -drh.h/GB

Tiada ulasan: