Menurut Misbahul Munir Masduki Setiausaha Politik Menteri Besar, perkara ini tidak mustahil dilakukan Umno dan BN memandangkan mereka telah pun melakukan kudeta secara haram sejak dari mula dan tidak lagi menghormati lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang.
"Dari mula mereka sudah lakukan rampasan kuasa dan menukar speaker juga tidak mustahil kerana Umno dan Barisan Nasional tidak segan-silu untuk melanggar semua perundangan dan peraturan.
"Walau bagaimanapun sekiranya ini berlaku ia tidak akan menyelesaikan krisis politik di Perak selagi DUN tidak dibubarkan sebagaimana yang telah kita berkali-kali tegaskan.
"Ini sahaja penyelesaian muktamad yang boleh merungkaikan segala masalah yang kita hadapi sekarang, selain daripada pendekatan itu ia hanya akan merumitkan lagi keadaan," kata Misbahul ketika dihubungi TV Antara.
Bagi tujuan menjelaskan isu-isu penting yang bersangkutan dengan krisis politik Perak, sekretariat Pakatan Rakyat akan menganjurkan "road show" selama empat hari bermula 27 April.
Isu-isu ini termasuk keputusan-keputusan mahkamah dalam kes bersangkutan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Speaker, V. Sivakumar serta sidang DUN 7 Mei depan..
Ceramah pertama akan diadakan esok di Padang Tembak, Teluk Intan, diikuti pada 28 April di Titi Gantung, Parit, 29hb April di Mambang Diawan, Kampar dan berakhir pada 30 April di Masjid Tinggi, Bagan Serai.
Misbahul berkata isu-isu yang dibangkitkan pada siri ceramah itu akan diperjelas dan dikupas oleh Datuk Seri Mohammad Nizar, Sivakumar, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan pimpinan-pimpinan PR Perak.
"Siri ceramah ini penting untuk memberikan maklumat terkini dan betul kepada rakyat Perak berhubung isu-isu rampasan kuasa, sidang 7 Mei, kes-kes mahkamah dan lain-lain.
"Ini perlu supaya rakyat tidak terkeliru dan terpengaruh dengan dakyah dan penipuan Umno dan Barisan Nasional yang ingin menonjolkan kerajaan mereka sebagai kerajaan yang sah walhal hakikat adalah sebaliknya," jelas beliau lagi.
-TVAntara.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan