Ali Hashim
KULIM, 7 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelajah setiap kampung dan daerah bagi menjelaskan kepada rakyat agenda jahat dan keburukan Umno dan Barisan Nasional (BN) sekiranya digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, esok.
Menurutnya, segala kejahatan dan keburukan yang sekian lama menjadi amalan kepimpinan Umno dan BN harus terus dirobek dan dimaklumkan kepada rakyat supaya mereka mendapat penjelasan yang sebenar mengenai tindak-tanduk pemimpin negara.
"Banyak perkara yang tidak direlakan oleh rakyat telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan yang ada sekarang. Arak dan judi semua ini membawa kesan negatif yang merosakkan akhlak dan kesejahteraan hidup rakyat, mereka tidak pedulikan walaupun ada bantahan dan bangkangan.
"Yang lebih teruk ialah sikap mereka yang tidak mempedulikan kritikan dan pembongkaran yang telah dibuat dalam Parlimen bahawa mereka mempunyai hubungan dengan negara Israel.
“Jika perkara ini tidak benar maka saya dengan ini mencabar Perdana Menteri untuk menafikan segala dakwaan tersebut dalam Parlimen," katanya pada majlis ceramah di sini, malam tadi.
Tambahnya, untuk menyelamatkan negara dari terus menjadi sebuah negara yang begitu sinonim dengan aktiviti rasuah oleh kepimpinan negara, maka pembohongan BN akan terus dibongkar dalam program ceramah isu semasa yang giat dijalankan dari masa ke semasa.
"Dari Sarawak sehinggalah ke Johor, Pakatan Rakyat (PR) akan pastikan dalam pilihan raya umum yang akan datang, tonggak pemerintahan negara akan berjaya dikuasai oleh PR,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan