"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Kg Baru: MAS tak mahu ‘gaduh’ dengan Raja Nong Chik

Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 21 Jun
— Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru menyatakan pendirian tegas tidak mahu terlibat dalam “pertelingkahan politik” dengan mana-mana pihak termasuk Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Setiausaha Agung MAS Shamsuri Suradi berkata setiap pendapat yang disuarakan itu hanya bersifat peribadi semata-mata dan tidak akan memberikan kesan kepada badan itu.

“MAS tidak kisah apa yang orang nak kata kerana itu pandangan dan pendapat peribadi mereka jadi kami tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan itu.

“Begitu juga dengan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang kata MAS tidak mempunyai hak dalam pembangunan Kampung Baru, bagi kami itu hanya pendapat peribadi beliau yang penting kami tahu apa tanggungjawab dan peranan kami terhadap Kampung Baru.

“Justeru kami tidak mahu memberikan sebarang komen terhadap isu ini lagi sehingga kami mengadakan mesyuarat,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Raja Nong Chik yang mengatakan perkara pembangunan terletak pada tangan pemilik tanah individu, bukannya badan itu.

“Dari sudut undang-undang mereka tiada hak tetapi kami tidak mahu menolak ke tepi sesiapa pun dalam soal perundingan,” kata beliau.

“MAS tidak boleh berbuat apa-apa, malah kerajaan juga tidak boleh buat apa-apa,” kata Raja Nong Chik.

Berhubung cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu menawarkan pelan pembangunan alternatif, Shamsuri berkata pihaknya menyambut baik perancangan tersebut.

“MAS menyambut baik cadangan tersebut dan harap ia menepati apa yang diinginkan oleh penduduk di sini.

“Namun begitu segala keputusan mengenai cadangan tersebut akan diketahui selepas beliau (Khalid) membentangkan cadangan itu kepada penduduk,” katanya.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Tiada ulasan: