"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nizar tak sanggup lama di Israel, sayu dengan kedaifan

SEPANG, 8 Jun: “Saya tidak mahu berada di Israel. Saya mahu pulang segera,” kata Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kapal MV Rachel Corrie yang ditawan tentera Israel Sabtu lepas.

Bukan kerana serik, tetapi menurutnya ia kerana beliau tidak sanggup melihat penindasan yang dilakukan oleh rejim Yahudi itu terhadap penduduk Palestin.

“Sepanjang perjalanan ke penjara, saya melihat bagaimana kampung-kampung disekat dengan tembok-tembok yang dibina supaya tiada hubungan antara mereka,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini malam tadi sebaik tiba bersama lima lagi sukarelawan Malaysia yang turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan itu.

“Penduduknya pula masih tinggal di rumah-rumah yang runtuh.

Bagaimana mereka terutama anak-anak boleh dibiarkan hidup sebegitu. Ia tak ubah seperti reban ayam,” tambahnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Jordan serta kedutaan Thailand di Tel Aviv yang berusaha mengeluarkan beliau serta rakan-rakannya dari Israel dengan segera.

Nizar juga melahirkan rasa kesal yang amat sangat kerana gagal menyampaikan bantuan seberat 1,500 tan yang dianggapnya sebagai amanah rakyat Malaysia yang tidak berjaya disempurnakannya, dan katanya beliau tetap bersedia mengikuti mana-mana misi menghantar bantuan ke Gaza di masa akan datang.

“Sikit lagi kami akan masuk ke Gaza. Kami sudah tiba di tahap 35 batu nautika, sikit lagi. Penduduk Gaza tentu hampa. Mereka menunggu, kerana mereka tahu kedatangan kami,” katanya penuh kecewa.

Katanya pihak Israel juga mahu beliau dan rakan-rakan menandatangani suatu “pengakuan” yang ditulis di dalam bahasa ibunda Israel, bahasa yang tentunya tidak difahami oleh sukarelawan.

“Kami kata tidak mahu, kerana kami hanya ingin menghantar bantuan ke Gaza, kami bukan mahu ke Israel kerana negara kami tidak mempunyai hubungan diplomatic dengan negara anda (Israel), anda yang bawa kami ke sini (Israel),” katanya.

“Saya amat berharap rakyat Palestin dapat hidup sebagaimana rakyat Malaysia satu hari nanti,” tambahnya.
-Bernama-

Tiada ulasan: