"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokongan Melayu Kepada Pas Bertali-Arus

Perdebatan Muktamar Tahunan ke-56 menyaksikan Pas berhadapan dengan kerisauan segelintir perwakilan yang menggesa Pas untuk tidak mengabaikan masyarakat Melayu dalam kesungguhannya menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Strategi menampilkan imej 'Pas Untuk Semua' yang inklusif, dan merentasi keterbatasan kaum di negara, menguja kebimbangan pihak tertentu yang merasakan Pas, akan kehilangan sokongan orang Melayu yang menjadi tulang-belakang kepada gerakan Islam terbesar tanahair ini.

Membidas kebimbangan tersebut sebagai tidak berasas, Ahli Parlimen Khalid Samad berkata Pas dari awal gagal meluaskan sfera pengaruh politiknya ke kawasan majoriti Melayu, yang diasak dengan pelbagai janji pembangunan dan retorik perkauman Umno-Barisan Nasional.

"Faktanya adalah kita tidak pernah meraih sokongan dari majoriti Melayu pada awalnya. Jadi isu sokongan Melayu semakin terhakis adalah tidak berasas dan ini adalah sebahagian dari propaganda Umno. Fakta yang lebih tepat adalah jumlah penyokong Melayu semakin bertambah," tegas Khalid.

"Kajian dari badan pemikir MCA mendedahkan dari lebih 350,000 undi yang kami terima pada 1999 telah meningkatkan kepada lebih 1 milion pada 2008. Ini menunjukkan masyarakat Melayu semakin cenderung bersama kita," tambah beliau.

Khalid meminta akar umbi Pas untuk tidak berasa bimbang kerana analisa menunjukkan Pas tewas di kerusi-kerusi majoriti Melayu hanya dengan perbezaan undi yang kecil.

Analisa kerusi berpotensi untuk Pas dalam pilihanraya umum ke-13 menunjukkan parti itu berpotensi menang di 50 kerusi termasuk 23 kerusi sedia-ada. Antara kerusi sasaran adalah 16 kerusi dimana Pas tewas dengan sekadar majoriti bawah 5,000 undi.

Sekiranya jentera Pas menumpukan usaha merapatkan jurang kecil ini, dan dalam masa yang sama meneroka sokongan bukan Melayu di kawasan-kawasan minoriti Melayu, Khalid yakin Pas mampu mengubah lanskap politik negara dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kita telah menunjukkan kemampuan kita untuk bekerja bersama parti-parti politik lain lalu membentuk kerajaan yang dihormati. Kerusi yang kita tewas dengan majoriti kecil adalah lebih mudah untuk dimenangi nanti. Kita harus tumpu usaha untuk memenangi kerusi-kerusi ini, dan bukannya kerana dakwaan kita semakin hilang sokongan Melayu, kita harus jadi lebih Melayu," kata Khalid.

Tiada ulasan: