Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini dilihat seperti hilang kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri atau menteri-menterinya apabila mewakilkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor merasmikan majlis-majlis rasmi yang sepatutnya dihadiri oleh beliau.
Tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan protokal biasa, malah jelas menunjukkan sikap sebenar Najib terhadap timbalannya dan menteri-menterinya yang lain yang sanggup mengubah peraturan sesuka hati walaupun bertentangan dengan amalan biasa dalam kerajaan.
Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, mengikut peraturan, jika perdana menteri tidak dapat hadir ke sesuatu majlis rasmi yang dijadualkan untuknya, ia mestilah diwakilkan kepada timbalannya. Jika tidak timbalannya pun, mestilah diwakilkan kepada menteri-menterinya yang lain yang berkenaan.
“Jika tidak diwakilkan kepada menteri-menteri yang berkenaan, mestilah kepada timbalan-timbalan menteri. Jika tidak timbalan menteri, mestilah diwakilkan kepada pegawai-pegawai kerajaan seperti ketua setiausaha dan ketua pengarah.
“Itulah yang sepatutnya dilakukan. Bukannya mewakilkan kepada ahli keluarga bagi menghadiri atau merasmikan program-program yang rasmi. Tetapi dengan apa yang berlaku, ia jelas menunjukkan keadaan luar biasa yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Rosmah yang mewakili Perdana Menteri dalam majlis Karnival Deepavali 1Malaysia di Litle India dekat Brickfield, Kuala Lumpur.
Dalam majlis itu, Najib melalui teks ucapan yang dibacakan oleh isterinya berjanji akan membantu orang India di negara ini.
Najib telah didapati mempunyai tanda-tanda awal sakit chicken pox (cacar air) dan diminta berehat oleh doktor selepas pulang dari Vietnam.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Dr Hatta (gambar) berkata, jika Perdana Menteri tidak dapat hadir ke majlis itu, jika tidak diwakilkan kepada timbalan perdana menteri atau menteri berkenaan seperti Datuk Seri Rais Yatim.
Tetapi pada majlis itu, keadaan seperti itu tidak berlaku, sehingga menyebabkan pelbagai pihak hairan dengan kejadian itu.
“Tindakan perdana menteri mewakilkan kepada isterinya bagi menggantikan dirinya merasmikan sesuatu majlis rasmi seperti itu bukan sekadar membelakangkan Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kerajaan, tetapi turut membebankan isteri sendiri.
“Isteri pula sepatutnya tidak menjadi wakil kepada suami (Perdana Menteri). Sebaliknya menumpukan perhatian bagi menjaga kebajikan suami. Jadi dengan itu, isteri (Rosmah) sepatutnya malu dengan apa yang dilakukan itu.
“Tetapi apa yang dapat dilihat, Rosmah bukannya malu dengan tindakannya itu, malah berasa seronok pula kerana dapat menjadi wakil kepada perdana menteri bagi merasmikan majlis itu, sehingga segala yang dilakukan itu menjadi jelas terkeluar dari protokol biasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Najib dan Rosmah agar berfikir lebih jauh dengan apa yang dilakukan itu kerana ia tidak sepatutnya berlaku dalam sistem pentadbiran sesebuah kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan