"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib Mahu Bina Menara 100 Tingkat Tetapi Jambatan Usang Diabaikan : Anwar

SANDAKAN 1 NOV: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Najib Razak apabila mahu mendirikan Menara Warisan 100 Tingkat dengan kos RM 5 Billion tetapi jambatan kecil dan usang di Kampung Gas diabaikan.

"Apa yang ada dalam Bajet 2011 yang mengutamakan penduduk Batu Sapi. Yang difikirkan oleh Najib ialah mahu mendirikan menara 100 tingkat dan mengkayakan kroni mereka. Balak berpuluh bilion diambil tapi jambatan kecil usang di Kampung Gas untuk kegunaan rakyat miskin pun tidak terjaga. Tak guna punya kerajaan," bidas Anwar sambil disahut dengan laungan Reformasi oleh yang hadir.

Sebelum ini calon Pakatan Rakyat Ansari Abdullah jatuh ke laut dua kali akibat keuzuran infrastruktur di Batu Sapi khususnya yang terbaru apabila beliau jatuh semasa mengggunakan jambatan itu di Kampung Gas.

Anwar yang berucap dihadapan lebih 1,000 penduduk Batu Sapi di Sanbay Hotel dekat sini petang semalam dalam majlis Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat, Anwar menegaskan kemenangan di kawasan parlimen P185 akan menghantar mesej yang amat jelas bahawa pengundi Sabah dan Sarawak bersama-sama rakyat Semenanjung menolak sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Umno-BN.

Beliau berkata jika kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak boleh dianggap sebagai kejutan kepada 'kubu besi' Barisan Nasional tersebut, kemampuan pengundi Batu Sapi memartabatkan calon KEADILAN ke Parlimen 4 November akan menjadi pukulan kepada Umno-BN.

"Kita perlu ingat pada pilihan raya umum 2008 pengundi Semenanjung telah menolak Umno-BN dan undi popular yang Pakatan Rakyat perolehi ialah 51 peratus. BN hanya menang disebabkan undi Sabah dan Sarawak, sebab itu mereka label simpanan tetap.

"Pilihan raya Batu Sapi adalah rahmat Tuhan kepada rakyat Sabah, satu peluang kepada pengundi membuat gegaran di Parlimen, membawa isu-isu yang tidak mungkin diperjuangkan oleh wakil BN mahupun Sapp," tegas Anwar.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata Pakatan Rakyat sekarang mampu berdepan dengan rakyat dengan pelbagai bukti dasar yang dilaksanakan oleh negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan.

"Di Pulau Pinang semasa BN memerintah belanjawan sentiasa defisit tetapi dua setengah tahun sahaja Pakatan Rakyat memerintah rizab kerajaan negeri mencecah lebih RM1 bilion.

"Di Kedah pula selepas enam memerintah, rakyat menikmati pengurangan cukai sebanyak 30 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar. Di Selangor rakyat bukan sahaja nikmati air percuma tapi skim khairiat kematian sebanyak RN2,500, untuk pelajar universiti RM1,00- dan macam-macam lagi," jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar mengajak rakyat Sabah membuat perubahan yang selama ini menjadi impian mereka dengan bersama-sama lakarkan laluan ke Putrajaya bagi mengubah senario politik perkauman dan kronisme yang menjadi budaya Umno-BN sejak 50 tahun.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Batu Sapi dianggap penting kepada rakyat Sabah khususnya dalam usaha mendapat pembelaan sebenarnya apabila diabaikan oleh pimpinan BN sejak sekian lama tatkala negeri itu makmur dengan sumber asli dan alamnya.

Seramai 1,615 pengundi pos di P185 Batu Sapi akan membuang undi bermula hari ini.
-tvsnews-

Tiada ulasan: