Salmah Mat Husain
GUA MUSANG, 3 Nov: Bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Mohd Nor Deris diminta memohon maaf dalam tempoh 24 jam bermula selepas laporan polis dibuat berikutan tindakannya menghina Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini dengan panggilan syaitan.
Majlis Tindakan Dun (MTD) Galas memohon tokoh agama Umno Kelantan bertindak demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Gua Musang hari ini.
“Sekiranya Ustaz Nor Idris tidak berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil ke atasnya,” kata Timbalan Pengarah MTD Dun berkenaan, Drs Mohd Zaki Mat Zin selepas membuat laporan polis terhadap Ustaz Nor.
Menurutnya laporan polis juga dibuat terhadap rakaman VCD yang menghina Tuan Guru Nik Abdul Aziz termasuk rombongan ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad yang disifatkan Nor sebagai syaitan.
Pada kunjungan sebelum ini Menteri Besar bersama 30 ahli rombongan menziarahi keluarga bekas Adun Galas di RPT Sungai Terah.
Sementara itu DAP membuat laporan polis terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 1.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang oleh Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil DAP Dun Galas, Su Keong Siong.
Laporan polis itu dibuat berhubung laporan sebuah akhbar harian yang bertajuk ‘tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau’.
Menurut Siong laporan akhbar yang dipetik dari kenyataan Ali berunsur fitnah dan berniat jahat dengan tujuan dengki dan benci.
“Lim Kit Siang tidak pernah berada atau menghadiri siri ceramah bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk Penasihat PKR dalam siri ceramah kempen pilihanraya kecil di Galas,” ujarnya.
Katanya, kenyataan berkenaan jelas mahu mencetus permusuhan antara kaum dan agama serta bertentanan dengan Akta Hasutan 1978 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
“Kita membuat laporan polis hari ini dan berharap pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kenyataan fitnah Datuk Seri Ali,” ujarnya.
Akhbar semalam melaporkan Ali sebagai berkata tindakan Kit Siang adalah hasil ajaran pemimpin PAS yang menjual agama dan tidak menghalang apabila bukan Islam menuduh orang Melayu tidak menyokong PAS sebagai kafir.
Ali mendakwa kenyataan Kit Siang dibuat pada ceramah yang dihadiri Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim RPT Sungai Terah.
Pada masa yang sama Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAPSY dan Organisasi Wanita DAP turut membuat aduan terhadap Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Putrajaya, Hisamudin Yahya dan penerbitan artikel, Berita Harian.
Menurut Kok Seong, pihaknya membuat laporan polis terhadap Hishamudin kerana membuat laporan polis berhubung laporan palsu Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan