"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Galas : Kertas Undi Tanpa Logo Parti Ditemui


GUA MUSANG, 4 NOV: Proses pembuangan undi di Dun Galas hari ini dikejutkan apabila ada kertas undi tanpa logo parti dikenalpasti di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Kampung Baru.

Memetik laporan Harakah Daily, perkara itu didedahkan isteri calon PAS, Zainab Jalar apabila kertas undinya tidak tercetak lambang parti.

"Ketika membuang undi, saya mendapati kertas undi yang diberikan kepada saya tidak mempunyai simbol parti politik yang bertanding.

"Sebaliknya ia hanya mempunyai nama calon sahaja," katanya ketika ditemui di sini.

Ekoran insiden tersebut beliau segera menghubungi jentera pilihan raya PAS memaklumkan perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pasukan peguam PAS yang berada di unit peti undi Kampung Baru.

Seorang peguam, Hisyam Fauzi berkata, perkara  ianya masih berada pada peringkat siasatan dan laporan kepada urusetia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat bagi mengelakkan masalah itu tidak berulang di pusat pengundian lain.

"Setakat ini tiada sebarang jaminan yang diberikan oleh pihak SPR," katanya.

Menurut beliau setakat ini pihaknya  menerima dua aduan mengenai masalah terbabit dan salah satu daripadanya telah dilaporkan kepada pihak polis.

Ia terdiri daripada satu kertas undi di unit peti undi Sungai Terah serta UPU Kampung Baru.

"Tindakan yang terdekat, kita telah meminta kepada pihak polling agent untuk membuat bantahan bertulis mengenai kes tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama , PAS menuntut penjelasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terhadap tiga laporan polis oleh pengundi PRK DUN Galas hari ini berhubung kertas undi tidak dicetak logo kedua-kedua parti termasuk kertas undi yang tiada logo PAS.

Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim yang ditemui media berkata, kesemua laporan polis tersebut menimbulkan keraguan justeru kesal dengan kesilapan yang boleh mengakibatkan kekeliruan pengundi.

Tambahnya lagi, beliau gusar sekiranya SPR menganggap undi tersebut rosak seraya menurunkan peratusan undi di DUN itu.

"SPR tidak profesional menyediakan kertas undi. Mungkin sengaja atau tidak disengajakan. Harap SPR menerima kertas undi sebagai sah," ujar beliau di sidang media tergempar di sini petang tadi.

PAS turut menyatakan kebimbangan sekiranya pengundi buta huruf.

Abdul Halim juga menuntut SPR memohon maaf kepada pengundi sekiranya kertas undi tidak dicetak merupakan masalah teknikal.

Antara 3 orang yang membuat laporan di IPD Gua Musang, salah seorang mangsa merupakan isteri kepada calon PAS, Zainab Jalar yang mengesan kesilapan kertas undi itu seawal jam 8.15 pagi di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Gua Musang.

Dua pusat mengundi lain yang turut terlibat  ialah di Sekolah Kebangsaan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Sekolah Kebangsaan Lepan Jaya.

Polis masih mengambil kenyataan daripada ketiga-tiga pengadu.

PAS percaya terdapat ramai lagi yang menjadi mangsa kekeliruan kertas undi namun tidak tampil membuat laporan. 
-tvsnews-

Tiada ulasan: