"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pembinaan Landasan Keretapi Berkembar Punca Banjir Buruk : MB Kedah


ALOR SETAR, 5 NOV: Kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan didakwa menjadi  punca banjir buruk melanda Kedah.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata semasa banjir besar lima tahun lepas, kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan beberapa kawasan lain tidak pernah ditenggelami air, tetapi sejak pembinaan landasan kereta api berkembar, banjir yang melanda Kedah semakin buruk.

Memetik sumber Bernama, sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa kontraktor landasan kereta api berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (Gamuda) membesarkan saliran air supaya air banjir dapat disalirkan ke sungai dengan cepat.

"Kami panggil mereka (Gamuda) datang mesyuarat dengan kita hari ini, tetapi mereka tidak datang. Jika mereka tidak datang juga, saya akan arahkan pihak
Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membuka laluan air itu dengan segera.
"Kami mahu berbincang dengan pihak Gamuda tentang perkara ini supaya masalahini dapat diatasi dengan segera," katanya selepas mesyuarat perkembangan banjir di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata bekalan air di daerah Padang Terap, Kota Setar (dari Kepala Batas hingga pusat bandar, Jalan Putra, Gunung, Jalan
Langgar dan Hutan Kampung) dan Kubang Pasu (Tanah Merah, Taman Kepala Batas, Jalan Kampung Naga dan Taman Tabung Haji) pulih sepenuhnya.

Beliau berkata Syarikat Air Darul Aman telah menyediakan 89 tangki air kepada orang ramai.

Azizan berkata beliau amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pejabat daerah, bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan sukarela, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi kerajaan pusat dan negeri dalam menangani bencana itu.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menambah peruntukan bencana sebanyak RM300,000 lagi menjadikan jumlah keseluruhan yang diperuntukkan ialah RM600,000 dan jumlah itu akan ditambah lagi jika keadaan memerlukan.

Tiada ulasan: